KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang, dan sikap yang bertanggungjawab.
Justeru, Kerajaan Madani berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan, tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqamah, kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah.
“Menyinggung himpunan “Turun Anwar” yang ditunjangi parti Pas dalam masa terdekat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum tentang kempen dan himpunan tersebut. Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan dan semangat reformasi, beliau menitipkan pesanan agar demonstrasi atau perhimpunan ini berlangsung secara aman dan tertib.
“Perdana Menteri juga telah mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi
memastikan keselamatan awam terpelihara dan kelancaran perhimpunan ditunjangi parti Pas ini dapat dibantu, tanpa sebarang intimidasi atau sekatan tidak wajar.
“Pendirian Kerajaan Madani adalah jelas dan konsisten, kita merayakan demokrasi. Hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak
yang menentang Kerajaan adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati. Apa jua ketidaksetujuan terhadap kerajaan, termasuk menerusi demonstrasi awam, tidak akan disekat secara membuta tuli,” katanya ketika taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Khamis.
Sebaliknya kata Tunku Nashrul, ia dianggap sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi ia tidak melanggar undang-undang dan tidak mengancam keselamatan awam.
“Marilah kita terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang, dan sikap yang bertanggungjawab,” ujarnya.



