KUALA LUMPUR, – Malaysia sekali lagi berdepan dengan fenomena jerebu rentas sempadan apabila asap dari wilayah Sumatera, Indonesia mula melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung sejak beberapa hari lalu. Keadaan ini disahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.
Menurut MET Malaysia, hasil cerapan satelit NOAA-20 yang dilakukan pada 18 Julai lalu serta laporan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati sebanyak 79 titik panas dikesan di kawasan Sumatera, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka.
Tiupan angin dari arah barat daya telah membawa asap ini ke Malaysia, menyebabkan kualiti udara merosot di beberapa lokasi.
“MET Malaysia tidak menjangkakan sebarang perubahan ketara pada pola tiupan angin dalam tempoh terdekat, maka kesan jerebu ini dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang,” kata Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham bin Mohd Anip dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, yang boleh memburukkan lagi keadaan serta mencemarkan alam sekitar. Orang awam juga digalakkan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi seperti laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial agensi itu, atau talian hotline 1-300-22-1638.
Fenomena jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan ladang di Indonesia bukanlah sesuatu yang baharu bagi Malaysia. Krisis jerebu paling teruk dalam sejarah negara berlaku pada tahun 1997, yang menyaksikan darurat jerebu diisytiharkan di Sarawak apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.
Situasi serupa berulang pada tahun 2015 dan 2019, apabila ribuan titik panas dikenal pasti di Kalimantan dan Sumatera.
Setiap kali fenomena El Niño melanda, risiko kebakaran terbuka di Indonesia meningkat, terutama apabila aktiviti pembukaan ladang secara membakar terus menjadi amalan sesetengah pihak.
Malaysia dan Singapura sering menjadi mangsa jerebu rentas sempadan ini, dengan impak kesihatan, ekonomi dan pendidikan yang ketara termasuk penutupan sekolah serta pembatalan penerbangan.
Kerajaan Malaysia melalui pelbagai saluran diplomatik, termasuk rangkaian ASEAN, telah beberapa kali mendesak Indonesia mengambil tindakan tegas, namun fenomena ini terus berulang hampir saban tahun.
Dengan kemunculan semula jerebu pada pertengahan 2025 ini, perhatian kini sekali lagi tertumpu kepada komitmen rantau ini dalam melaksanakan perjanjian serantau ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution, the yang dimeterai pada tahun 2002 tetapi masih gagal membendung masalah secara menyeluruh.



