Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA melalui seni kontemporari di Balai Seni Negara

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari oleh Balai Seni Negara kini dibuka kepada orang ramai mulai 18 Julai 2025 sehingga 31 Mei tahun depan di Galeri 3A, Balai Seni Negara.

Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan pameran ini menghimpunkan karya seni daripada seniman-seniman rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA).

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot di Balai Seni Negara dekat sini pada Khamis lalu.

Turut hadir, Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad; pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi, para kurator serta penggiat seni visual dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.

“Pameran ini merupakan salah satu inisiatif di bawah agenda Diplomasi Budaya selaras dengan Pelan Strategik MOTAC 2021-2025, terutamanya dalam memperkasa jaringan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan kebudayaan,”kata kenyataan itu itu.

Katanya, penganjurannya sejajar dengan visi BIMP-EAGA 2025 yang berteraskan prinsip berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing dari segi ekonomi (R.I.S.E), serta menjadi antara pengisian sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.

“Melalui pameran ini, Balai Seni Negara memberi tumpuan kepada refleksi visual para seniman dari keempat-empat negara yang menyentuh dimensi ekonomi, hubungan sosial, penjagaan alam sekitar, keilmuan serta yang paling utama, kearifan tempatan dalam wilayah timur ASEAN.

“Wilayah ini merangkumi keseluruhan Kesultanan Brunei Darussalam dan jalur Kalimantan dari Pontianak hingga Balikpapan di Indonesia, Wilayah Sulawesi dan Maluku, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Borneo Malaysia, serta bahagian selatan Filipina meliputi Kepulauan Mindanao dan Palawan, ”katanya lagi.

Menurutnya, Josrie Haral; Muslim Mattajim dan Dr. Mohamad Faizuan Mat dari Malaysia antara seniman yang terlibat.

Seniman dari Brunei Darussalam diwakili oleh Umi Zaty Bazillah Zakaria dan Asilah Maziyah Dr. Mohamad Yussof, manakala dari Filipina terdiri daripada Chester M. Mato, Romy Jones Mata, Leonard B. Ansiong, Brendale Taj Hassan Tadeo dan Alynnah Macla.

Seniman Indonesia pula diwakili oleh Audro Chrustofel Rompas, bersama dua kolektif seni iaitu Susur Galur dari Pontianak yang menghimpunkan Muchamad Riduwan, Tito Prastio dan Elfrida Citra Rominggagas, serta Muara Suara dari Samarinda yang terdiri daripada Robby Ocktavian, Prashasti Wilujeng Putri dan Rio Raharjo.

Penglibatan kurator serantau turut mencorakkan arah kuratorial pameran ini, melibatkan Zakaria Omar dari Brunei Darussalam; I Wayan Seriyoga Parta dan Gusti Hendra Pratama dari Indonesia; serta Al Nezzar B. Ali dari Filipina.

Menurutnya lagi, sebanyak 12 karya dipamerkan, memperlihatkan pelbagai bentuk ekspresi artistik termasuk media campuran, instalasi, catan, fotografi, audio dan videografi termasuk satu karya daripada Koleksi Seni Visual Negara oleh seniman dari Malaysia, Yee I-Lann.

Orang ramai dan peminat seni kontemporari dijemput hadir untuk menghayati pelbagai naratif seni dari rantau BIMP-EAGA, sekali gus membuka ruang kepada pemahaman yang lebih meluas terhadap persamaan dan perbezaan dalam landskap budaya Timur Asia Tenggara.

Maklumat lanjut mengenai pameran ini, boleh diikuti melalui media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.
-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat