PKR akan tinggal 22 kerusi jika gantung kami, tak selesaikan masalah pun, bidas Rafizi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli menegur sekali mengingatkan ketua-ketua cabang PKR risiko yang bakal dihadapi parti itu sekiranya 9 ahli Parlimen termasuk dirinya digantung keahlian susulan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman.

Tegas bekas Timbalan Presiden PKR itu, menggantung 9 orang ahli Parlimen menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, lebih sedikit dari DAP, BN dan GPS.

“Ada desakan supaya saya dan 8 lagi ahli parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung. Maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung.

“Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi. Saya perhatikan saja. Anggota parti biasa pun perhati. Rakyat pun perhati juga dan nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita.

“Menggantung kami juga tidak menyelesaikan masalah kerana kami dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara bagi pihak mereka, jadi kami akan terus bersuara.

“Menggantung kami memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila ada ahli Parlimen seperti Hassan Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tidak ada tindakan pun,” selar bekas Menteri Ekonomi itu.

Justeru nasihat Rafizi kepada pimpinan PKR peringkat cabang dari generasi yang baru menang selepas pemilihan baru-baru ini – PKR tidak dibina dengan menutup mulut.

“PKR nampak dinamik kerana kita sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti.

“Kita juga diminati rakyat sebelum ini kerana kita paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.

“Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru, seperti ketua-ketua cabang ini, untuk menjadi orang besar dan berjawatan.

“Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan negara tegur-tegurkan,” demikian peringatan Rafizi.

Semalam Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih jalan damai apabila mengumukan isu gantung sembilan ahli Parlimen PKR sebagai tidak berbangkit dan beliau hanya bersabar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat