Oleh Zihan Zari
CYBERJAYA – Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Viviantie Sarjuni telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2015.
INSKEN dalam kenyataan memaklumkan, lebih 20 tahun Viviantie berkhidmat dalam syarikat multinasional (MNC) dan agensi kerajaan serta mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi, inovasi dan kreativiti.
“Viviantie juga berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan sosial, dan beliau pernah menghabiskan setahun enam bulan di Scotland untuk mendalami ekosistem inovasi sosial di Eropah.
“Beliau pernah berkhidmat selama 4 tahun dengan sebuah syarikat berpangkalan di Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat, yang memperkukuhkan pemahamannya tentang pelbagai ekosistem global, ”kata kenyataan itu.
“Sebelum menyertai INSKEN, Viviantie pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) dan kini beliau masih lagi memegang jawatan sebagai Presiden Alumni Chevening Malaysia (2024–2026), ”katanya.
“Viviantie juga telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah seperti Kindness & Leadership 50 Leading Lights In The Asia Pacific 2024, Wiki Impact – 100 Changemakers In Malaysia 2024, Sabah’s 100 Most Inspiring Women dan banyak lagi.
“Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta seluruh warga kerja INSKEN mengalu-alukan pelantikan beliau dan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang telah memberikan persetujuan lantikan ini, ”katanya lagi.
Tambahnya, pelantikan Viviantie diharap dapat memperkukuh pengurusan dan gerak kerja INSKEN.
“Selain itu, memperkasakan ekosistem keusahawanan negara dalam membantu usahawan mikro dan informal untuk kekal berdaya saing serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan usahawan, tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV