IPOH,– Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tambun menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Perak yang memperkenalkan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dalam sektor pertanian sebagai langkah strategik menangani ketandusan penyertaan belia dalam bidang itu.
Ketuanya Ashraf Kahasani berkata, pelaksanaan teknologi pertanian moden adalah satu pendekatan proaktif yang bukan sahaja dapat meningkatkan daya tarikan sektor pertanian kepada generasi muda, malah berpotensi memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.
“Kami melihat isu kekurangan petani muda bukan sekadar soal ekonomi, tetapi turut menyentuh aspek keselamatan makanan negara. Statistik Banci Pertanian 2024 menunjukkan hanya 23.4% belia berumur 15 hingga 45 tahun di Perak terlibat dalam sektor ini. Ini satu angka yang amat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ashraf menegaskan bahawa kebergantungan kepada petani warga emas yang semakin lanjut usia akan memberi kesan terhadap tahap produktiviti pertanian negara dalam jangka masa panjang.
Menurut beliau lagi, antara punca utama generasi muda kurang berminat terhadap pertanian ialah kurangnya pendedahan kepada teknologi moden, kekangan modal, akses terhad kepada tanah, serta keterbatasan latihan yang relevan.
Cadangan Strategik AMK Tambun
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan teknologi pertanian moden dan menarik penyertaan lebih ramai anak muda, AMK Tambun menggariskan lima cadangan strategik:
1. Koordinasi Agensi Kerajaan Penyelarasan antara agensi berkaitan perlu dipertingkat bagi memudahkan bantuan teknikal, geran, dan latihan kepada petani muda.
2. Pendedahan Awal Teknologi IoT Teknologi pertanian moden perlu diperkenalkan seawal peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, dan komuniti setempat bagi menanam minat terhadap pertanian sejak awal.
3. Memperluas TVET Pertanian Pendidikan dan latihan teknikal dalam bidang pertanian moden perlu ditambah baik untuk melahirkan petani muda berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran industri.
4. Pendekatan Rantaian Nilai Kaedah value chain digunakan bagi memantau dan menilai impak penyertaan belia dalam sektor pertanian dari peringkat latihan hingga pemasaran hasil.
5. Akses Tanah Khas untuk Belia Menyediakan akses kepada tanah khusus untuk petani muda yang telah dilatih dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menjadikan pertanian sebagai kerjaya.
“AMK Tambun yakin masa depan pertanian negara terletak di tangan generasi muda. Justeru, kami akan terus menyokong sebarang langkah kerajaan dalam memperkasa golongan ini, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Perak Sejahtera 2030,” tambah Ashraf.
Kenyataan ini hadir ketika Perak mempergiat transformasi sektor agro dengan pendekatan digital dan teknologi pintar bagi memastikan kelestarian pertanian jangka panjang.