Muhamad Norazlan dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-21

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

SUBANG -Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral Dato’ Sri Hj. Muhamad Norazlan Aris , 58, telah dilantik sebagai Panglima TUDM ke -21, berkuat kuasa Selasa menggantikan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 26 Jun 2025.

Upacara Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas serta penyerahan tampuk kepimpinan ‘Tonggak Kuasa’ TUDM mengikut adat ketenteraan daripada Mohd Asghar Khan kepada Muhamad Norazlan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Hj. Mohd Nizam Jaffar di Pangkalan Udara Subang dekat sini pada Khamis.

Turut hadir menyaksikan, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan Gulab Khan; Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Dato’ Masro Kaliwon; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis Abdul Karim; dan Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Khusairi Ahmad Fadli.

Muhamad Norazlan, dilahirkan pada 9 November 1967 di Kota Tinggi, Johor memulakan kerjaya dalam ATM setelah menjalani latihan Pegawai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi pada 1985 hingga 1987.

Seterusnya memulakan latihan penerbangan pada tahun 1988 di TUDM Alor Setar dan setelah tamat latihan, terpilih untuk menerbangkan pesawat pejuang.

Muhamad Norazlan berkelulusan Diploma in Strategic & Defence Studies, Universiti Malaya (2001), Master of Maritime Policy di University of Wollongong, Australia (2012), dan International Security and Strategic Leadership Studies di United Kingdom.

Beliau menjawat Timbalan Panglima TUDM sejak 28 Jun 2022 mempunyai kepakaran yang luas dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara sudah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB3394, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG-29N /UB dan Sukhoi 30MKM.

Di sepanjang perkhidmatannya, beliau telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di dalam TUDM sebagai pemerintah, staf dan jurulatih.

Antaranya, Pegawai Staf 1 Operasi Pejuang di No 1 Div Udara, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron Su-30MKM, Komander Pangkalan PU Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (P&P), Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara, Panglima Operasi Udara.

Beliau telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara seperti Kursus Staf Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Kuala Lumpur, Kursus Fighter Weapon Instructor (FWI) di International Test Pilots School Ltd (ITPS Canada), Kursus Higher Defence Orientation di Army War College, MHOW, India, dan Kursus Strategic Studies di Royal College of Defence Studies (RCDS), United Kingdom.

Menyorot kembali perjalanan Mohd Asghar Khan, dilahirkan pada 26 Disember 1965 di Selangor mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultan Badlishah, Kulim mula menceburi ATM pada 18 Julai 1983 sebagai Pegawai Kadet di MTD.

Beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985 telah mengikuti kursus jurulatih penerbangan di RAAF East Sale, Australia pada 1992 dan sudah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MIG-29N dan Sukhoi 30MKM.

Berkelulusan Master’s Degree in Strategic Studies dari Universiti Islamabad, Pakistan (2008), Diploma Kajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (2002), dan Diploma Pengajian Pertahanan dari Universiti Malaya (1999).

Di sepanjang perkhidmatan, beliau mencurahkan bakti di dalam ATM, khususnya TUDM selama 42 tahun 5 bulan, telah memegang pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Memerintah No 19 Skuadron MiG-29N; Pegawai Memerintah No 11 Skuadron SU-30MKM; dan Komander Pangkalan PU Gong Kedak.

Selain itu, Asisten Ketua Staf (AKS) Operasi dan Strategi (Markas Tentera Udara); AKS Operasi & Latihan (J3) Markas Angkatan Bersama; Panglima Pendidikan & Latihan Udara; dan Timbalan Panglima TUDM.

Ketika menerajui TUDM sejak 7 Mac 2022, beliau telah memperkukuh keupayaan dan martabat pasukan dengan melakar pelbagai pencapaian menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55) merangkumi perolehan aset strategik negara seperti pesawat FA-50 Light Combat Aircraft, pesawat rondaan maritim (MPA), sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), helikopter baharu dan radar pertahanan udara.

Dalam pada itu, Jeneral Dato’ Sri Hj. Muhamad Norazlan Aris telah menyerahkan jawatan Timbalan Panglima TUDM kepada Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis Abdul Karim dalam satu majlis yang berlangsung di Mes Wira Angkasa, Pangkalan Udara Subang, dekat sini pada Khamis. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat