KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Rabu.
“Saya dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengenai keputusan hari ini dan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan dibuat,” katanya.
Ditanya adakah beliau kecewa dengan keputusan hari ini selepas siasatan yang dilakukan oleh pegawai penyiasatnya, beliau menjelaskan, perkara itu tidak berlaku.
“Saya tiada ‘personal’ dengan sesiapa… tiada rasa kecewa atau suka dalam kita menyiasat apa-apa kes,” katanya memetik BH.
Hari ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.