KUALA LUMPUR – Pendedahan kewujudan kumpulan Facebook ‘Group Budak2 Sekolah Rendah’ yang mempunyai lebih 12,000 ahli, sebahagiannya menjadi pemerhati pasif kepada kandungan seksual melibatkan murid sekolah rendah, bukan sekadar insiden membimbangkan malah noda terhadap maruah negara.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa langkah segera pihak berkenaan serta platform media sosial untuk menutup kumpulan tersebut wajar dihargai, namun ia belum memadai.
Tegas beliau, apa yang amat diperlukan adalah gerak kerja yang tersusun, tegas dan padu daripada agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Kita memerlukan tindakan tegas, segera dan menyeluruh justeru sebagai Timbalan Presiden PKR dan seorang ibu saya mendesak agar Kementerian Komunikasi dan SKMM membentangkan satu mekanisme pemantauan yang jelas dan telus bagi menilai keberkesanan sistem perlindungan digital untuk kanak-kanak.
“KPWKM dan PDRM membentangkan laporan terbuka berkenaan kes semasa, serta semua kes lampau agar rakyat dapat meneliti perkembangan dan memastikan pertanggungjawaban terjamin.
“Parlimen diberi taklimat tentang status dan keberkesanan Unit Khas Jenayah Seksual D11, setelah setahun penubuhannya, supaya kita dapat menilai kekuatan dan kekurangannya dengan jujur dan objektif.
“Akses orang ramai terhadap Daftar Pesalah Seksual Kanak-Kanak yang diwujudkan pada tahun 2019, dipermudahkan. Bukan untuk mengaibkan, tetapi untuk melindungi. Kita boleh mencontohi semangat kerjasama rentas sempadan antara pasukan polis seperti yang ditunjukkan oleh 13 buah negara Amerika Latin dan 7 buah negara Eropah melalui rangkaian ELIPSIA.
” KPM memperkasa kurikulum pendidikan kesihatan dengan memasukkan elemen keselamatan dalam talian, supaya pelajar dapat mengenal pasti pemangsa dan tingkah laku tidak wajar dalam alam maya,” saran Nurul Izzah.
Tambah beliau lagi, semakin hari, pelaku jenayah seksual semakin licik dan canggih ini realiti yang perlu kita hadapi.
“Mereka menggunakan teknologi dan ‘dark web’ untuk menyembunyikan jejak mereka. Ini bukan kali pertama kita dikejutkan dengan insiden yang menggores jiwa. Namun seperti biasa, tindakan sering hadir terlalu lambat. Dalam hal ini, kami ingin menzahirkan penghargaan kepada aktivis dan pempengaruh media sosial seperti Mekyun dan lain-lain yang telah berani menyuarakan isu eksploitasi seksual kanak-kanak secara terbuka dan menyedarkan masyarakat. Usaha ini wajar dicontohi dan digembleng bersama oleh seluruh lapisan masyarakat.
“PKR percaya bahawa pendekatan yang paling berkesan bermula daripada komuniti itu sendiri. Maka, kami akan melancarkan suatu kempen akar umbi berskala besar yang memberi tumpuan terhadap kesedaran terhadap bahaya eksploitasi seksual kanak-kanak; pasukan sokongan komuniti yang menawarkan aktiviti selamat dan kaunseling mesra kanak-kanak; kerjasama erat bersama NGO, pusat komuniti dan institusi pendidikan (semua tahap).
“Begitu juga dengan kaunter kesedaran di ruang awam, melibatkan tokoh tempatan bagi menyampaikan mesej secara lebih berkesan; penglibatan langsung pemimpin masyarakat dan pejabat penyelaras daerah dalam advokasi dan pemantauan berterusan,” katanya.
Nurul Izzah memberitahu, berdasarkan data rasmi tahun 2023, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat sebanyak 26.5 peratus, 𝐦𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐥𝐚 𝐤𝐞𝐬 𝐩𝐨𝐫𝐧𝐨𝐠𝐫𝐚𝐟𝐢 𝐤𝐚𝐧𝐚𝐤-𝐤𝐚𝐧𝐚𝐤 𝐦𝐞𝐥𝐨𝐧𝐣𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤 𝟏𝟑𝟗.𝟑 peratus. Ini bukan sekadar statistik. Ini suara jeritan yang tidak kedengaran, menuntut pembaharuan menyeluruh, bukan sekadar undang-undang yang tidak ditegakkan.
“Ibu bapa, pendidik, pemimpin agama dan komuniti. NGO. Pengguna media sosial. Beban ini adalah milik bersama. Dalam menghadapi cabaran digital yang semakin rumit, kita tidak lagi boleh menjadi pemerhati pasif. Masanya bagi kita tampil sebagai pelindung tegas, penuh bertanggungjawab, dan berani menyentuh akar masalah.
“Pada Januari tahun ini, saya telah menjadi sasaran ancaman serangan seksual di alam maya. Laporan polis telah pun dibuat, dan Alhamdulillah, pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya pada 18 Jun 2025, individu berkenaan telah didakwa secara rasmi atas 11 hantaran berunsur lucah dan berbaur ancaman terhadap saya. Insiden ini mengingatkan kita bahawa setiap ancaman wajib disusuli dengan tindakan; tanpa pengecualian, tanpa berlengah.
“Namun begitu, gangguan seksual dan eksploitasi dalam alam maya terus berleluasa, didalangi oleh ribuan rangkaian pemangsa di alam maya yang kekal aktif, khususnya dalam kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak. Difahamkan kini beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk mendakwa kesalahan seksual dalam talian terhadap golongan ini.
“Langkah tersebut sememangnya dialu-alukan. Namun begitu, masih banyak jurang yang perlu dirapatkan, kelemahan yang perlu diperbaiki, dan tindakan susulan tanpa lengah demi melindungi mereka yang paling mudah terdedah kepada bahaya,” katanya.