Setelah lebih dua tahun memegang tampuk kuasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di persada sebagai Perdana Menteri Kesepuluh satu kedudukan yang pernah diimpikan gerakan reformasi 25 tahun lalu.
Namun gema laungan“Reformasi!” yang dahulunya menggoncang jalan-jalan kota kini kedengaran lebih sayup dan sinikal. Kritikan tidak lagi datang semata dari musuh politik, malah dari dalam kem sendiri. Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, secara terbuka menyamakan PKR kini dengan UMNO satu label yang sebelum ini sinonim dengan segala yang anti-reformasi.
Di media sosial, istilah “Reformati” digunakan sinis, merujuk kepada transformasi yang dikatakan telah mati sebelum sempat bernyawa.
Namun di pentas Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, Anwar tidak bersembunyi di sebalik retorik.
Dihadapan ratusan pengamal media dari dalam dan luar negara, beliau dengan tenang mengakui bahawa sebahagian daripada idealisme reformasi yang dijanjikan masih tertunda.
Dengan nada jujur, beliau berkata, “Saya cukup sedar ada yang menuduh saya bukan lagi reformis.”
Reformasi dalam diam
Tetapi Anwar tidak hadir sekadar untuk membela diri. Sebaliknya, beliau menghuraikan bahawa sebahagian reformasi telah pun berjalan khususnya melalui Kementerian Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau menyebut bagaimana puluhan undang-undang sedang disemak dan digubal, termasuk RUU berkaitan Majlis Media Malaysia yang mula dikuatkuasakan tahun ini, serta reformasi kontrak kerajaan agar lebih telus dan bebas daripada rundingan langsung.
Secara diam, reformasi institusi memang sedang berlaku.
Dari sistem perolehan kerajaan yang kini diwajibkan melalui tender terbuka, kepada usaha menyemak lebih 3,000 akta lapuk, hingga ke pengenalan sistem digital untuk pentadbiran undang-undang – semuanya sedang berjalan walaupun tidak digembar-gemburkan secara populis.
Reformasi perlu masa
Namun Anwar turut mengakui, keghairahan untuk melakukan reformasi tidak boleh dilakukan secara gelojoh. Sejarah mengajar bahawa revolusi yang terlalu tergesa-gesa boleh mengundang perpecahan.
Lalu beliau membawa audien menyelusuri sebuah kisah klasik kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, khalifah agung Bani Umayyah yang sering disanjung kerana kesederhanaan dan keadilannya.
Umar Ketika ditanya oleh anaknya sendiri bilakah perubahan dan pelaksanaan syariah Islam akan dilaksana secara menyeluruh, beliau menjawab: “Jangan gopoh, wahai anakku. Kalau aku ikut sentimen ini, berkecai negara.”
Jawapan ini bukan hanya berlandaskan hikmah, tetapi satu peringatan bahawa dalam mengurus negara, niat baik perlu disusuli dengan kebijaksanaan langkah.
Anwar menyebut contoh ini bukan untuk berdalih, tetapi sebagai pengingat bahawa agenda reformasi memerlukan kestabilan, keupayaan sistem dan penglibatan seluruh ekosistem kuasa bukan semata-mata kehendak seorang Perdana Menteri.
Malah dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa tugas menghapuskan rasuah dan membina keadilan adalah “kerja hidupnya”, meskipun tidak mendapat pujian atau sokongan penuh daripada masyarakat.
Justeru, di sebalik pertanyaan apakah reformasi telah mati, HAWANA 2025 menjadi pentas untuk Anwar menghidupkan semula wacana yang lebih rasional dan realistik tentang makna reformasi dalam pentadbiran.
Ia bukan tentang menolak kritikan, tetapi mengajak semua pihak memahami bahawa perubahan struktur negara tidak boleh dibina dengan retorik semata.
Reformasi belum mati. Tetapi ia juga belum selesai.