KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius laporan media mengenai kewujudan laman pedofilia di media sosial yang memaparkan murid sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan, kewujudan laman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral perlu dibendung.
“Ia perlu segera dilaporkan dan diambil tindakan.
“KPM telah mempunyai modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bagi meningkatkan tahap kesedaran
kesihatan reproduktif dalam kalangan masyarakat khususnya murid, guru dan ibu bapa.
“Tempoh masa pengajaran bagi modul PEERS akan ditambah dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru menurut Fadhlina, semua institusi pendidikan KPM diminta untuk mematuhi garis panduan bagi menangani isu gangguan seksual yang sedang diguna pakai.
“Khidmat sokongan psikososial juga perlu terus diperkukuhkan untuk memberi sokongan kepada murid.
“Pada masa sama, ibu bapa digesa untuk turut memainkan peranan proaktif di rumah dengan mendidik dan melindungi anak-anak dari ancaman gangguan seksual.
“Mereka bertanggungjawab memastikan maruah anak-anak dipelihara,” tegas beliau.