KUALA LUMPUR – Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS) Lo Khere Chiang mencadangkan negeri itu mencontohi Singapura dan membina loji penapisan minyaknya sendiri.
Khere Chiang berkata, dengan cara ini Sarawak akan dapat mengurangkan aliran keluar minyak mentah, meningkatkan hasil dan mewujudkan ribuan pekerjaan mahir untuk penduduk tempatan.
“Sudah tiba masanya kita manfaatkan sumber kita sendiri untuk masa depan kita,” kata Adun Batu Kitang itu, lapor Dayak Daily.
Sektor penapisan minyak Singapura tertumpu terutamanya di Pulau Jurong dengan tiga loji utamanya mempunyai kapasiti penapisan sebanyak 1.5 juta tong sehari.
Khere Chiang membuat gesaan sedemikian berikutan desakan negeri itu mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber minyak dan gasnya.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak menerbitkan kenyataan bersama yang menekankan peranan bersama syarikat minyak negara, Petronas, dan Petros milik Sarawak dalam membangunkan industri minyak dan gas di negeri itu.
Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim berkata, kenyataan yang dikeluarkan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg itu mengiktiraf keupayaan negeri yang semakin meningkat serta haknya bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas, sambil memelihara peranan strategik Petronas pada peringkat nasional.
Sementara itu, Khere Chiang mendakwa, semakin banyak rasa tidak puas hati mengenai cara PDA dan Akta Laut Wilayah 2012 dikuatkuasakan ‘tanpa rundingan, persetujuan mahupun keadilan ke atas Sarawak’.
Beliau berkata, sejak 50 tahun lalu, Sarawak telah menyerahkan minyak dan gas bernilai lebih RM1 trilion, dengan pulangan yang amat kecil dan tidak setimpal.
“(Perkara) ini digunakan untuk menyerang kerajaan GPS,” tambahnya.