KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan penyokong parti supaya tidak berpecah-belah, sebaliknya bekerjasama demi mempertahankannya.
Wan Azizah menasihati bahawa bukan mudah laluan dilalui PKR untuk sampai ke tahap diterima ramai seperti sekarang, yang mana hanya dengan sokongan akar umbi sahaja mampu merealisasikannya.
Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, peranan anak muda sangat penting untuk membangunkan parti, malah pembabitan golongan itu juga dilihat mampu menawan Kelantan.
“Dulu kita (PKR) baru nak bangun, parti kecil, parti nyamuk…. tapi (hari ini) dah bangkit sampailah Presiden kita (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi Perdana Menteri. Itu pun kena ‘gaduh-gaduh’ dulu.
“Sebelum ini ada kawan-kawan dari parti lain kata kita tak berapa ‘steady’ terutama di Kelantan, tapi saya rasa di Kelantan kita ada potensi cuma (cara) untuk realisasikannya itu bagaimana.
“(Jawapannya) kita kena sama-sama bangunkan parti kita. Anggota-anggota kita (gabungan), tidak bermusuh… kita bukan ‘perfect’ (sempurna), jadi sama-samalah teruskan dan peranan itu perlu diambil alih oleh golongan muda kerana jiwa mereka lebih bersemangat,” katanya di Kelantan semalam, lapor BH.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.
Wan Azizah turut menasihatkan pemimpin sedia ada terutama yang memenangi pemilihan parti supaya tidak ‘lupa diri’ dan dibutakan dengan jawatan, sebaliknya kekalkan hubungan dengan penyokong akar umbi.
Menurutnya lagi, pencapaian atau kedudukan diperoleh adalah amanah yang perlu dipegang untuk terus memperkukuhkan parti.
“Jangan lupa, ke tahap mana pun (kita), parti yang naikkan kita, apa yang kita dapat dan dari mana jawatan itu diperoleh adalah untuk memperkukuhkan parti, itu amanah yang kita pegang.
“PMX (Anwar) tak ada gaji tapi tak mengapa, tapi Ahli Parlimen (Tambun) ada juga. Itu semua untuk negara kita, kita kena bangunkan parti,” katanya.