PENTAS beri terapi seni teater kepada penghuni Asrama Akhlak Jitra

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

JITRA – Program pendedahan bidang seni teater dan sastera diharap dapat dijalankan secara berterusan kerana dapat mencungkil bakat kepada penghuni Asrama Akhlak.

Selain menerima bimbingan, pendidikan formal, kaunseling, dan aktiviti keagamaan, program seperti ini dapat membimbing serta memberikan mereka peluang untuk belajar, memperbaiki diri serta membangunkan potensi mereka secara menyeluruh.

Pengetua Asrama Akhlak Perempuan (P) Jitra, Mohd Zulhelmee Said berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Motivasi dan Terapi Bahasa dan Sastera Melalui Teater di Dewan Asrama Akhlak (P), Lebuhraya Bukit Kayu Hitam dekat sini, baru-baru ini.

Program sehari ini dianjurkan oleh Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah.

Terdahulu, Setiausaha PENTAS Mohd Zulkamal Ismail berkata program ini memberi peluang kepada remaja perempuan di Asrama Akhlak (P) Jitra dekat dengan masyarakat luar.

Beliau yang lebih dikenali ‘Joe K.A.S’ juga merupakan Munsyi Dewan (Sastera) berkata dalam program ini peserta telah disuntik dengan motivasi pembakar semangat dan kaedah terapi seni melalui teater.

Menurutnya, pembudayaan teater adalah senaman ringan yang bersifat menyeluruh bagi melahirkan modal insan cergas dan cerdas mindanya.

Selain itu, komunikasi dua hala berdialog dan melalui cara ini peserta dapat berkomunikasi melalui dialog walaupun hanya dengan permainan kata-kata.

“Dengan kaedah berteater seperti ini dapat menarik minat kanak-kanak dan remaja mengenai dunia sastera serta pembentukan sahsiah diri.

“Novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ karya Allahyarham Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dato ’ Dr Shahnon Ahmad, telah digunakan sebagai bahan bengkel dan peserta turut diberi monolog Jeha dan monolong Lahuma, ”katanya lagi.

Seramai 40 peserta dalam lingkungan umur 9 hingga 20 tahun, terdiri daripada ahli PENTAS dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, selain penghuni Asrama Akhlak Perempuan (P) Jitra telah menyertai program ini .

Program ini berakhir dengan persembahan pementasan fragmen teater ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh PENTAS.

Untuk rekod, Asrama Akhlak adalah institusi yang ditubuhkan dibawah Seksyen 61(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menempatkan kes-kes reman dan pemulihan bagi, kanak -kanak yang terlibat dengan jenayah serta kanak-kanak yang tidak terkawal. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat