KUALA LUMPUR – Cadangan mengambil semula tanah pertanian Projek Kelapa Pandan di Kampung Tebing Tembah, Paka, di Dungun Terengganu, untuk dijadikan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak perumahan, disifatkan sebagai tindakan zalim dan bercanggah dengan hukum syarak.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun ia milik kerajaan negeri, namun tanah seluas 40 hektar itu telah menjadi hak 96 peserta projek itu dari segi hukum syarak memandangkan mereka mengusahakan tanah itu lebih 18 tahun dengan pengetahuan dan sokongan kerajaan menerusi Jabatan Pertanian.
“Hasil yang mereka (penduduk) dapat hari ini adalah dengan segala kepenatan dan kepayahan mereka.
“Tanah ini diusahakan mereka selama tempoh 18 tahun dan mereka telah mendapat hasil, bahkan mereka usahakan tanah ini dengan bantuan kerajaan dan dari segi hukum syarak, tanah ini milik mereka.
“Walaupun kerajaan negeri mahu mengagihkan tanah ini kepada 600 penduduk dengan alasan lebih ramai yang dapat manfaat berbanding hanya 96 orang (peserta kelapa pandan), ia adalah tindakan yang salah kerana akan mengambil tanah yang telah jadi milik orang pada hukum syarak.
” Ini adalah satu kezaliman dan bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau dan bertemu peserta Projek Kelapa Pandan di Tebing Tembah, lapor Utusan di Terengganu pada Jumaat.
Khairuddin berkata, kerajaan negeri boleh mencari lokasi lain yang belum diusahakan penduduk sekiranya mahu dijadikan projek perumahan.
“Apa yang kerajaan negeri perlu buat ialah betulkan keadaan, usahakan memberi hak milik kepada mereka (peserta). Saya dimaklumkan usaha (untuk pemilikan tanah) telah dibuat dahulu cuma belum selesai kerana diambang PRU (pilihan raya umum) 2018 dan selepas itu bertukar kerajaan.
“Nasihat saya kepada sahabat lama saya dan masih menjadi sahabat, Pas perjuangkan Islam, tunjukkan Islam itu menerusi perjuangan tanah ini. Memberi tanah kepada rakyat itu perjuangan, tetapi jangan mengambil tanah orang yang telah diusahakan. Itu salah pada hukum syarak,” katanya.