BEIJING – Tentera Laut China meningkatkan rondaan di Laut China Selatan bermula semalam, sambil menuduh Filipina mencetuskan ‘gangguan’ di kawasan perairan yang menyaksikan tuntutan bertindih beberapa negara itu.
Tindakan itu dilakukan Beijing ketika angkatan udara Filipina dan Amerika Syarikat (AS) menjalankan misi bersama di ruang udara perairan yang dipertikaikan itu.
China yang menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, kini berdepan ketegangan yang semakin memuncak dengan Filipina apabila kedua-dua negara berusaha mempertahankan tuntutan kedaulatan masing-masing.
Lebih 14,000 anggota tentera Filipina dan AS mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama, ‘Balikatan’, yang berlangsung dari 21 April hingga 9 Mei ini, sebagai sebahagian ujian kesiapsiagaan penuh dalam menghadapi kebimbangan keselamatan serantau.
Dalam kenyataan semalam, Pentadbiran Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat China memaklumkan bahawa pasukannya melaksanakan rondaan ‘rutin’ di Laut China Selatan pada hari yang sama, tanpa memperincikan lokasi.
“Kebelakangan ini, Filipina kerap menjalankan provokasi pencerobohan maritim, mencetuskan gangguan dan mengheret negara luar rantau untuk melaksanakan ‘rondaan bersama’,” menurut kenyataan itu lapor Reuters.
Pasukan laut dan komando udara China dilaporkan memantau keadaan dan mengekalkan kesiapsiagaan pada tahap tinggi.
“Pasukan di kawasan operasi kekal berjaga-jaga, mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritim negara dengan tegas serta memastikan keamanan dan kestabilan di rantau Laut China Selatan,” katanya.
Tentera Filipina pula dalam kenyataan berasingan mengesahkan bahawa angkatan udaranya dan AS menjalankan rondaan bersama di Laut China Selatan pada hari yang sama, sebagai sebahagian kerjasama pertahanan yang berterusan.
Rondaan itu membabitkan tiga jet pejuang FA-50 milik Tentera Udara Filipina, bersama dua pengebom B-1B, dua F-16 dan sebuah F-18 milik AS.
Membalas kepada kenyataan tentera China, angkatan bersenjata Filipina menegaskan bahawa mereka tetap berpegang pada hak kedaulatan dan kerjasama dengan sekutu seperti AS yang berkongsi nilai-nilai yang sama.
“Pelaksanaan latihan bersama dan operasi pemantauan kawasan maritim dalam perairan wilayah dan zon ekonomi eksklusif kami bukanlah satu provokasi sebaliknya ia adalah langkah kesiapsiagaan.
“Untuk lebih jelas, Filipina adalah sebuah negara berdaulat. Tiada kuasa asing boleh menentukan bagaimana kami mempertahankan tanah air kami atau dengan siapa kami memilih untuk bekerjasama,” kata kenyataan itu.