Cyberjaya – Kumpulan Saudia mengumumkan satu lagi langkah strategik dalam usaha perluasan dan pemodenan armadanya melalui perjanjian penting dengan Airbus untuk memperoleh sehingga 20 pesawat berbadan lebar A330neo. Daripada jumlah tersebut, 10 adalah pesanan tetap untuk flyadeal, anak syarikat penerbangan kos rendah milik penuh Kumpulan.
Langkah ini mengukuhkan lagi kedudukan Saudia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan serantau dan global, dan bertepatan dengan Visi Saudi 2030, inisiatif nasional yang bertujuan menjadikan Arab Saudi sebagai hab global yang menghubungkan 250 destinasi serta menarik 150 juta pelancong menjelang akhir dekad ini.
Majlis menandatangani perjanjian berlangsung di kilang Airbus di Toulouse, Perancis, dengan kehadiran tokoh-tokoh utama industri termasuk Y.M Engr. Ibrahim Al-Omar, Pengarah Besar Kumpulan Saudia, dan Christian Scherer, CEO bahagian Pesawat Komersial Airbus. Perjanjian itu dimeterai oleh Saleh Eid, Naib Presiden Pengurusan Armada Saudia, dan Benoît de Saint-Exupéry, Naib Presiden Eksekutif Jualan Airbus.
Dalam kenyataannya, Y.M Engr. Ibrahim Al-Omar berkata, “Perjanjian hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan pelan pertumbuhan kami. Tambahan A330neo ini akan memberikan kelebihan dari segi kecekapan operasi, kebolehpercayaan dan pengalaman penumpang, sejajar dengan strategi jangka panjang kami.”
Beliau turut menyatakan bahawa perjanjian ini adalah susulan kepada perjanjian besar tahun lalu yang menyaksikan Saudia menempah 105 pesawat daripada Airbus, menunjukkan komitmen kukuh syarikat terhadap pertumbuhan berterusan dan pelaburan jangka panjang.
A330neo terkenal dengan kecekapan bahan api, keupayaan penerbangan jarak jauh serta fleksibiliti operasi. Ia dijangka memainkan peranan penting dalam membuka laluan antarabangsa baharu bagi flyadeal dan memperluaskan jangkauan global Saudia.
Benoît de Saint-Exupéry pula menekankan peranan A330neo dalam menyokong pertumbuhan strategik syarikat: “Kepelbagaian dan prestasi generasi baharu A330neo akan memberi nilai tambah besar kepada Saudia dan flyadeal dalam menjayakan aspirasi penerbangan Kerajaan Arab Saudi.”
Pada masa ini, Kumpulan Saudia mengendalikan 194 pesawat pelbagai fungsi merangkumi penerbangan komersial, kargo dan logistik. Dengan tambahan 191 pesawat baharu yang dijadualkan diterima dalam beberapa tahun akan datang, kumpulan ini berada di landasan kukuh untuk menjadi antara syarikat penerbangan paling moden dan efisien di dunia.
Perkembangan ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan, logistik dan ekonomi Arab Saudi secara keseluruhan, sekaligus memperkukuh peranan negara sebagai pusat penghubung antara timur dan barat.