KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan (MOF) masih dalam proses meneliti perincian garis panduan mengenai skop peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, pihaknya sedang dalam proses mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh.
“Kalau ada maklumat lanjut, MoF akan buat pengumuman nanti,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Mega e-Invois 2025, lapor FMT pada Selasa.
Semalam, media yang memetik jurucakap kementerian dilaporkan berkata, penguatkuasaan peluasan SST yang dijangka akan dilaksana pada 1 Mei ini, telah ditangguhkan.
Menurut laporan itu, peluasan skop SST akan dilaksana pada masa akan datang dan segala garis panduan berkaitan sedang diperhalusi bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.
Sesi libat urus bersama pemain industri di seluruh negara dilaporkan telah selesai bagi memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan berhasrat untuk melancarkan peluasan skop SST pada 1 Mei.
Bagaimanapun, beberapa kumpulan perniagaan dan perdagangan termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) menggesa supaya skop peluasan SST ditangguhkan, mengambil kira tarif yang mungkin dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap barang import di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Lim yang berucap pada majlis itu berkata hampir 29,000 syarikat telah melaksanakan e-Invois, melibatkan 262 juta transaksi setakat semalam.
Menurutnya, pencapaian tersebut melibatkan 5,400 pembayar cukai fasa pertama dan 12,600 pembayar cukai bagi fasa kedua yang melaksanakannya sejak Januari.
“Turut merangkumi lebih daripada 11,000 pembayar cukai fasa ketiga yang melaksanakan secara sukarela lebih awal daripada tarikh mandatori bermula 1 Julai,” katanya.