KUALA LUMPUR – Umno disaran mencontohi PKR yang disifatkan sebagai ‘berani’ mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti di peringkat bahagian termasuk untuk jawatan tertinggi.
Bekas Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpandangan tiada lagi alasan munasabah untuk Umno menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti terutama melibatkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Katanya, jika Umno terus ‘mengelak’ mengadakan pemilihan, ia kemungkinan akan menyebabkan kebencian dalam kalangan akar umbi terhadap parti itu.
“Kebencian dan ‘rasa meluat’ akar umbi sudah pasti akan memberi kesan yang buruk kepada Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Umno sepatutnya berasa malu kepada parti PKR yang baru berusia 26 tahun berbanding Umno, tetapi berani mengadakan pemilihan parti, seperti yang berlaku sekarang ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.
Syed Ali turut membangkitkan persoalan mengapa Umno didakwa ‘takut’ dan ‘fobia’ untuk memberi ruang sebebasnya kepada ahli parti bagi memilih pemimpin mereka di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.
Beliau dalam masa sama bersetuju dengan pandangan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa pemilihan dalam parti adalah proses demokrasi yang diizinkan oleh Perlembagaan.
“Saifuddin mengulas keputusan pemilihan parti yang menyaksikan beberapa nama besar PKR termasuk menteri dan timbalan menteri yang tewas pada pemliihan peringkat bahagian.
“Saya sependapat dengan hujah Saifuddin bahawa pemilihan parti adalah ‘pesta demokrasi’ dan tidak boleh dibiarkan mati.
“Selaku veteran Umno dan pernah menyandang jawatan Ketua Bahagian dan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, saya berharap Umno dapat mencontohi PKR dalam menentukan hala tuju dan masa depan parti,” kata veteran Umno itu lagi.
Selain itu, Syed Ali berharap Umno tidak berasa sombong dan megah kerana berada dalam kerajaan semasa, ketika ini.
Katanya lagi, ahli-ahli Umno sudah matang berpolitik dan sayangkan parti, serta yakin proses pemilihan kepimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian dan pusat akan memberi nafas baharu kepada Umno, sekali gus mengembalikan semula sokogan orang Melayu pada PRU akan datang.
Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) memutuskan meluluskan usul untuk dua jawatan tertinggi Umno melibatkan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan pada Pemilihan Umno bagi penggal 2023 hingga 2026.
Ini sekali gus menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden bagi tempoh tersebut.
Bagaimanapun, Zahid sebelum ini dilaporkan terbuka jika dua jawatan tertinggi dalam parti itu dipertandingkan pada Pemilihan Umno 2026.