KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya, menyuarakan kebimbangannya terhadap reaksi keterlaluan susulan insiden kesilapan cetakan Jalur Gemilang oleh akhbar Sin Chew Daily, yang mencetuskan kemarahan awam dan siasatan jenayah.
Menurut Latheefa, kesilapan tersebut jelas tidak disengajakan dan adalah tidak munasabah untuk menuduh sebuah akhbar arus perdana cuba mensabotaj dirinya sendiri secara sengaja.
“Kenapa wujud reaksi keterlaluan, termasuk siasatan jenayah, apabila jelas kepada sesiapa yang waras bahawa ini adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan?” katanya dalam satu kenyataan .
“Tiada sebab logik kenapa sebuah akhbar utama mahu mensabotaj dirinya sendiri dengan cara ini.”
Beliau turut mengkritik kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyifatkan insiden itu sebagai ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam, menyatakan bahawa reaksi tersebut adalah berlebihan dan bersifat panik.
Why such a great outcry, including criminal probes, when it’s clear to any reasonable person that it was a mistake, that it was unintentional? There’s no earthly reason why a major newspaper would intentionally sabotage themselves like this. KDN’s claim that it’s a threat to… pic.twitter.com/bhQ6AFaVIi
— Latheefa Koya (@LatheefaKoya) April 17, 2025
“Saya juga hairan melihat ramai ahli politik turut serta dalam ‘bandwagon’, mendesak hukuman maksimum, penjara dan sebagainya. Di manakah suara kewarasan?” soal beliau.
Latheefa turut menegaskan bahawa adalah tidak adil dan tidak wajar untuk mengenakan tuduhan jenayah atau hukuman penjara ke atas kesalahan yang tidak disengajakan.
“Patriotisme kita tidak boleh diukur hanya melalui simbol zahir seperti bendera. Ia adalah sesuatu yang tidak ketara, mendalam, dan berada dalam jiwa kita,” katanya.
Beliau menambah bahawa pihak Sin Chew Daily telah memohon maaf secara terbuka, membetulkan kesilapan tersebut, dan mengambil langkah sewajarnya secara dalaman. Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya untuk masyarakat bergerak ke hadapan dan tidak terus memperbesarkan isu ini.