BACHOK – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM3.19 bilion bagi pembangunan negeri Kelantan tahun ini, menyaksikan peningkatan berganda berbanding peruntukan pada 2022 yang berjumlah RM1.55 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ketara ini adalah bukti keprihatinan dan komitmen Kerajaan Madani terhadap pembangunan negeri itu, walaupun ia ditadbir oleh parti yang berbeza di peringkat negeri.
“Peruntukan besar ini membabitkan 471 projek yang merangkumi pelbagai infrastruktur penting dan bantuan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok hari ini.
Antara projek utama yang tersenarai dalam peruntukan tersebut termasuk:
-
RM1 bilion bagi pembinaan jalan raya termasuk sambungan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU)
-
RM500 juta untuk projek air, termasuk Loji Rawatan Air Machang
-
RM100 juta untuk Program Rumah Mesra Rakyat dan bantuan rumah
-
RM50 juta untuk program pekebun kecil di bawah RISDA
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Anwar menegaskan bahawa peningkatan peruntukan bukan hanya tertumpu kepada Kelantan semata-mata, malah negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan Perlis juga menerima kenaikan berganda dalam peruntukan pembangunan tahun ini.
“Ini membuktikan bahawa kita tidak meminggirkan mana-mana negeri, walau apa pun latar belakang pentadbirannya,” tegas beliau.