KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dan blok pembangkang digesa mengetepikan perbezaan politik dan bersatu menghadapi ancaman perang tarif yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyifatkan tindakan Trump itu sebagai “penyakit ekonomi” yang mengancam ekonomi global, sama seperti wabak Covid-19 yang pernah melanda dunia lima tahun lalu.
Menurut beliau, pendekatan diplomasi dan rundingan oleh Kerajaan Malaysia dalam menangani isu tarif perdagangan merupakan langkah pragmatik memandangkan negara ini bukan kuasa besar ekonomi, sebaliknya sebuah negara perdagangan bebas.
“Langkah kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan bersepadu dengan 10 negara anggota ASEAN dalam berhadapan dengan tindakan Presiden Trump juga dianggap satu pendekatan yang betul, susulan ASEAN adalah sebuah pertubuhan serantau yang dibentuk pada asasnya untuk kerjasama ekonomi.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini perlu memainkan peranan sebagai jurubicara serantau dalam menghadapi ancaman perang tarif Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, katanya untuk memainkan peranan itu secara berkesan, Malaysia perlu menunjukkan kestabilan politik dalaman terlebih dahulu.
“Saya percaya Kerajaan Madani tidak boleh bersendiri dalam menangani cabaran ekonomi ini. Kerjasama politik dengan blok pembangkang, khususnya Perikatan Nasional, perlu diwujudkan segera untuk kepentingan nasional,” tegas beliau.
Hassan turut mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil langkah berjiwa besar dengan mempelawa pembangkang menjalin kerjasama rentas politik demi kepentingan negara.
“Jika Memorandum Kerjasama (MoU) perlu diwujudkan antara kerajaan dan pembangkang, maka ayuh, wujudkan dan ditandatangani segera untuk kerjasama tersebut.
“Buat masa sekarang bukan untuk bercakaran, tetapi masa genting untuk semua tenaga progresif dan patriotik bersatu demi menyelamatkan ekonomi Malaysia dan rakyatnya,”ujarnya.
Pada Khamis, Anwar dilaporkan berkata, penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari yang diumum Trump memberi kelegaan sementara kepada Malaysia.
Malaysia merupakan antara 75 negara yang diberi penangguhan itu oleh pentadbiran Trump.
Dalam langkah terbaharunya, Trump mengumumkan pengurangan kadar tarif timbal balas ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan.
Presiden AS itu membuat pengumuman berkenaan beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh negara Uncle Sam itu.
Bagaimanapun, Trump mengenakan lebih banyak cukai ke atas China dalam apa yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia.
Presiden AS itu menaikkan tarif yang dikenakan ke atas import dari China kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta.