KUALA LUMPUR – Harga telur ayam semua gred turun mendadak sejak Ramadan lalu, dipercayai berlaku peningkatan dalam pengeluaran namun kurang permintaan di pasaran.
Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Lee Yoon Yeau berkata, situasi sama pernah terjadi ketika Ramadan tahun lalu.
“Bagaimanapun, penurunan harga pada tahun ini lebih dahsyat kerana penghasilan telur ayam meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu, bermakna hampir 33 juta biji telur ayam dihasilkan setiap hari.
“Kebiasaannya ketika Ramadan kita akan eksport telur ayam ke Hong Kong, namun tahun ini mereka peroleh bekalan telur dari China dengan harga yang lebih rendah berbanding kita tawarkan.
“Oleh kerana berlaku lambakan, kita ambil keputusan untuk turunkan harga telur setiap gred sehinggakan sebiji telur gred D hanya pada harga 16 sen, lebih rendah berbanding harga kos 38 sen,” lapor Harian Metro pada Khamis.
Yoon Yeau berkata, golongan penternak sememangnya terjejas, namun tiada pilihan lain sehingga permintaan terhadap telur ayam kembali seimbang.
“Saya jangkakan harga telur ayam akan terus rendah dalam tempoh satu bulan sebelum berlaku peningkatan harga semula,” katanya.