HONOR lancarkan lima produk baru, kukuhkan ekosistem pintar melalui HONOR ALPHA Plan

- Advertisement -

HONOR Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran lima produk baharu di bawah rangkaian Semua Senario, sebagai sebahagian daripada strategi terbaharunya yang dikenali sebagai HONOR ALPHA Plan. Pelan ini menandakan satu langkah penting dalam transformasi HONOR daripada sebuah jenama peranti mudah alih kepada syarikat ekosistem pintar berasaskan AI, menjadikannya satu-satunya jenama Android ketika ini yang memiliki ekosistem Semua Senario yang lengkap di pasaran.

HONOR ALPHA Plan diperkenalkan sebagai satu pelan strategik jangka panjang yang terdiri daripada tiga fasa utama. Fasa pertama memberi tumpuan kepada telefon pintar sebagai pusat utama dalam menghubungkan kecerdasan buatan dengan pengguna. Fasa ini turut memperlihatkan kerjasama erat bersama rakan teknologi utama seperti Qualcomm dan Google, dengan ciri-ciri AI terkini akan mula diperkenalkan menerusi HONOR Magic 7 Pro.

Fasa kedua pula memberi fokus kepada pengembangan AI ke dalam pelbagai peranti fizikal seperti tablet, komputer riba, jam tangan pintar dan peranti boleh pakai lain. Ini membolehkan kesemua peranti ini berhubung dengan lancar dan menyampaikan pengalaman pengguna yang lebih menyeluruh. Dalam fasa ketiga, HONOR melangkah lebih jauh ke arah era kecerdasan buatan umum atau Artificial General Intelligence (AGI), yang memperlihatkan peranan AI sebagai alat untuk memperkasa manusia dan memperluas keupayaan mereka, bukan menggantikan.

Bersempena pelan ini, HONOR turut memperkenalkan lima produk baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu HONOR Pad X9a (versi LTE), HONOR Pad V9, HONOR MagicBook X14 2025, HONOR Watch 5 dalam varian tali kulit berwarna hijau, serta HONOR Earbuds Open. Kesemua produk ini ditawarkan untuk melengkapkan ekosistem HONOR dari sudut hiburan, produktiviti, gaya hidup dan kesihatan.

Dalam kategori komputer riba, HONOR MagicBook X14 2025 tampil dengan spesifikasi yang dinaik taraf untuk kegunaan harian mahupun kerja profesional. Ia dikuasakan oleh pemproses Intel Core Generasi ke-13 dengan reka bentuk yang ringan dan moden. Skrinnya beresolusi 1920×1200 dengan aspek nisbah 16:10, memberikan ruang kerja yang luas. Komputer riba ini turut menerima pensijilan TÜV Rheinland untuk perlindungan mata dan hadir dengan pengecas pantas 65W. Dijual pada harga RM2,499, pembeli turut menerima langganan Microsoft 365 dan beg galas secara percuma.

Antara produk paling menyerlah ialah HONOR Pad X9a, sebuah tablet yang direka khusus untuk pengalaman hiburan. Ia menampilkan skrin bersaiz 11.5 inci dengan resolusi 2.5K dan disertakan dengan teknologi paparan yang melindungi mata, seperti Skrin Pemalapan Dinamik dan Teknologi Paparan Malam Sirkadia. Tablet ini turut dilengkapi empat pembesar suara yang menawarkan peningkatan bunyi sebanyak 200 peratus, menjadikannya sesuai untuk penstriman video atau muzik. Bateri 8300mAh yang disertakan mampu menyokong penstriman selama hampir 12 jam, dan pengecasan pantas 35W memastikan ia sentiasa bersedia untuk digunakan. Menariknya, versi WiFi tablet ini ditawarkan pada harga RM999 dan hadir bersama papan kekunci Bluetooth serta pensel secara percuma — satu nilai hebat dalam kelasnya. Untuk versi LTE pula, ia akan mula dijual pada 25 April dengan harga RM1,299.

Bagi mereka yang mahukan tablet untuk produktiviti, HONOR Pad V9 merupakan pilihan ideal. Dilengkapi dengan paparan 11.5 inci 2.8K dan kadar segar semula 144Hz, ia menyokong pengalaman kerja dan pembelajaran yang lancar. Fungsi pintar seperti Real-Time Voice-to-Text, AI Smart Summary dan AI Meeting Translation menjadikannya alat yang berguna untuk pelajar dan profesional.

Tablet ini juga menyokong pengecaman formula matematik dan memperkemas tulisan tangan dengan AI, menjadikannya sesuai digunakan untuk pelbagai keperluan. Dengan bateri besar 10,100mAh, pengguna boleh menikmati sehingga 13 jam penstriman video dan 40 jam penstriman muzik. Tablet ini dijual pada harga RM1,999 dan disertakan dengan papan kekunci boleh tanggal serta HONOR Magic Pencil 3 secara percuma.

Bagi mereka yang menitikberatkan kesihatan dan gaya hidup, HONOR Watch 5 kini hadir dengan pilihan tali kulit berwarna hijau yang elegan. Jam tangan ini menyokong pelbagai mod kecergasan dan dilengkapi dengan bateri tahan sehingga 15 hari. Ia turut disertakan dengan teknologi penjejakan GPS yang tepat melalui AccuTrack Positioning serta fungsi imbasan kesihatan satu sentuhan yang boleh mengukur kadar denyutan jantung, oksigen dalam darah, tahap tekanan dan kualiti tidur dalam masa kurang seminit.

Melengkapkan barisan pelancaran, HONOR turut memperkenalkan HONOR Earbuds Open — fon telinga dengan teknologi terbuka dan ciri terjemahan masa nyata berasaskan AI. Ia menyokong sehingga 15 bahasa, termasuk Bahasa Malaysia, Jepun, Arab, Perancis dan banyak lagi. Fungsi AI Live Translation membolehkan pengguna berkomunikasi dalam pelbagai situasi seperti perjalanan, mesyuarat atau pembelajaran bahasa baharu dengan lebih mudah. Reka bentuknya yang selesa dan kebolehan berhubung merentas platform menjadikan HONOR Earbuds Open pilihan ideal untuk pengguna aktif. Ia boleh digunakan dengan Android mahupun iOS melalui aplikasi HONOR AI Space dan ditawarkan pada harga RM699.

Kesemua produk ini boleh didapati melalui HONOR Experience Stores, laman web rasmi HONOR, serta platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Ia juga ditawarkan melalui pengedar sah seperti Senheng, Urban Republic dan Harvey Norman, bergantung kepada ketersediaan stok.

Pelancaran lima produk ini serta pengenalan HONOR ALPHA Plan menandakan komitmen jenama ini dalam membina sebuah ekosistem pintar bersepadu untuk pengguna global, selari dengan evolusi teknologi yang semakin pantas. Dengan pendekatan yang menyeluruh dan mesra pengguna, HONOR dilihat semakin mantap sebagai peneraju dalam dunia teknologi berasaskan AI.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat