KUALA LUMPUR — ‘Setiap kawasan rumah pangsa di Kuala Lumpur mestilah dikekalkan sebagai kawasan yang bukan berorientasikan keuntungan semata-mata, jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Umbo Seputeh itu menegaskan, pembangunan semula rumah pangsa perlu dilakukan mengikut perkembangan semasa disebabkan kebanyakan rumah pangsa telah mencapai usia tua.
Namun katanya, proses ini mesti dikawal oleh badan yang membela kepentingan rakyat, khususnya penduduk rumah pangsa tersebut.
“Pembangunan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju yang berorientasikan keuntungan.
“Kerajaan hari ini mempunyai matlamat tertentu dalam pembangunan negara, namun kehendak sebenar rakyat bergantung kepada kemampuan mereka.
“Saya perhatikan banyak perancangan pembangunan negara diletakkan di tangan pemaju.
“Jika ini berlaku tanpa kawalan, ia akan cenderung kepada keuntungan semata-mata, di mana aspek wang ringgit menjadi keutamaan utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya setiap pelaksanaan yang ingin dibuat mestilah mencerminkan realiti sosio-masyarakat setempat.
Beliau berkata, usia bangunan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerahkan pembangunannya kepada pihak swasta tanpa kawalan kerajaan.
“Kerajaan perlu memastikan pembangunan ini kekal memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Harga tanah yang tinggi bukanlah alasan.
“Dalam pandangan rakyat, tanah ini lebih bernilai daripada sekadar wang ringgit, ia adalah ruang untuk menyediakan kehidupan selesa bagi semua lapisan masyarakat.
“Inilah peranan utama kerajaan yang mesti dipertahankan,” jelasnya.
Selain itu beliau turut menyentuh isu penjaja dan peniaga kecil yang sering menghadapi tekanan daripada tindakan penguatkuasa, terutama berkaitan lesen perniagaan.
Tegasnya peranan pemimpin setempat dan persatuan peniaga amat penting dalam menyantuni penjaja dan peniaga yang menghadapi masalah.
“Golongan ini perlu disantuni, bukan sekadar dihukum. Setiap permasalahan mesti diselesaikan secara berperingkat melalui perbincangan yang teliti bagi mencari penyelesaian yang adil dan lestari.
“Ibu kota adalah tempat untuk semua orang mencari rezeki, selesaikanlah satu persatu, dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Setiap kali mereka didatangi penguatkuasa, keresahan timbul kerana bimbang gerai dirobohkan atau sumber rezeki mereka terjejas.
“Pendekatan ini tidak akan menyelesaikan masalah punca rezeki rakyat.
“Mereka berniaga untuk mencari nafkah, dan jika terus ditekan ditambah pula dengan tindakan yang kadangkala tidak adil pelbagai tafsiran negatif akan timbul di kalangan masyarakat,” katanya.