Oleh Zihan Zari
SEPANG – Sebanyak 15 lelaki warga Bangladesh yang cuba memasuki negara ini dengan menyamar sebagai pasukan kriket telah ditahan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini, pada Isnin.
AKPS dalam kenyataannya berkata kumpulan itu cuba mengaburi mata pegawai AKPS dengan berpakaian seragam sukan kriket dan mengemukakan surat penganjuran kejohanan.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati mendapati surat yang kononnya dikeluarkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang adalah palsu.
Menurutnya, tiada sebarang kejohanan kriket dijadualkan berlangsung dari 21 Mac hingga 23 Mac ini seperti tercatat dan lebih mencurigakan lagi, mereka cuba mendapatkan seorang penaja sebagai penjamin.
“Namun, penjamin yang hadir mengaku tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan kriket tersebut dan hanya hadir sebagai wakil syarikat.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada bukti kukuh mereka adalah pemain kriket dan berkemungkinan mereka adalah sebahagian dari sindiket yang cuba menyamar sebagai pemain kriket untuk memasuki Malaysia atas tujuan lain,“katanya dalam kenyataan pada Isnin.
“Pihak AKPS telah memutuskan agar kumpulan ini tidak dibenarkan mendarat (NTL) dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuatkuasa, ”katanya lagi.
“Pihak AKPS memberi amaran, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu atau sindiket yang cuba menyalahgunakan visa sukan untuk tujuan berbeza seperti bekerja secara tidak sah atau pemerdagangan manusia,”ujarnya.
“Ini bagi memastikan keselamatan dan integriti sistem imigresen negara terus terpelihara, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV