KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan program pemutihan tanah pertanian dengan melibatkan sebanyak 78 blok atau 5,526.291 hektar atau 13,655 ekar tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Cameron Highlands melalui melalui program skim sewaan tanah pertanian Pahang Corporation Sdn. Bhd atau Pahang Corp bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bermula tahun 2020.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan ini bertujuan mengurangkan ketirisan kutipan hasil kerajaan negeri itu.
Menurut beliau, peranan Pahang Corp sebagai “One Stop Agency” (OSA) bagi kutipan sewaan dan caj-caj agensi berkaitan bagi memudahkan urusan pekebun.
“Penyelarasan dan pematuhan segala peraturan yang sedang berkuatkuasa oleh jabatan dan agensi berkaitan sebelum, semasa dan selepas tempoh sewaan diantaranya seperti pematuhan syarat pembangunan tanah bagi kawasan cerun dan larangan menyewakan semula atau melepaskan hak penggunaan tanah kepada mana-mana pihak lain termasuklah kepada warga asing.
“Selain itu, pematuhan syarat Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MYGAP) dan pematuhan syarat larangan memasuki kawasan rizab hutan simpan, sungai dan jalan,” kata Wan Rosdy.
Jelas beliau, sehingga 31 Jun 2024, status pelaksanaan pemutihan melibatkan seramai 1,661 penama (4,570 ekar) telah dikemaskini di dalam data maklumat pekebun.
“Manakala sebahagian tanah dengan keluasan 995 ekar telah diusahakan melebihi LPS asal dan 3,566 ekar lagi sedang diproses untuk kelulusan permohonan baharu. Dari keseluruhan tanah tersebut, 6,915 ekar telah diukur untuk dikemaskini dalam data maklumat pekebun.
“Bagi status kutipan sewaan tahunan pula, dari tahun 2020 sehingga 31 Jun 2024 jumlah kutipan sewaan adalah sebanyak RM51.2 Juta (58 peratus) dan baki jumlah tunggakan dari penyewa yang culas membuat bayaran sewaan adalah berjumlah RM37.8 Juta (42 peratus).
“Jika dilihat daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewaan tersebut, senarai pekebun yang masih culas membuat bayaran adalah masih tinggi dan ianya secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan hasil dan menyumbang kepada kerugian kerajaan negeri,” katanya.
Oleh itu, Wan Rosdy menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang berharap supaya pekebun yang masih culas untuk membayar tunggakan sewaan agar tampil membuat bayaran dengan kadar segera pada tahun 2024.
“Kerajaan Negeri Pahang juga turut memberi peringatan dan amaran keras kepada pekebun yang melanggar syarat-syarat sewaan lain termasuklah kesalahan menyewakan semula atau melepaskan hak penggunaan tanah kepada mana-mana pihak lain termasuklah kepada warga asing di mana mereka yang terbabit akan berhadapan tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan oleh jabatan dan agensi berkaitan di seluruh negeri Pahang terutamanya di Cameron Highlands,” kata ADUN Jelai itu.