Oleh: Zihan Zari
GOMBAK – Program Komuniti Desa (PKD) Mobile satu langkah bertepatan usaha pihak kerajaan menyalurkan bantuan dan maklumat terus kepada masyarakat desa daripada agensi, jabatan dan pihak swasta.
Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata demikian ketika berucap pada program Mini PKD Mobile di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) , Batu Caves pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Selangor/Wilayah Persekutuan, Nur’ Aishah Md Norodin dan Penolong Setiausaha, Bahagian Ekonomi Komuniti KKDW, Muhammad Nazirul Zakwan Mohd Sobri,
Megat Zulkarnain berkata, PKD Mobile dilihat sebagai salah satu inisiatif tepat dengan mengaplikasikan empat tunjang utama iaitu (D) Data dan Digital, (E) Ekonomi dan Ehsan, (S) Sosial dan Sahsiah dan (A) Akaliah dan alam sekitar.
“Program ini melibatkan agensi kerajaan dan swasta dilihat mampu membantu penduduk desa dalam mencapai Aspirasi Desa Makmur dengan lebih efisien dan efektif.
“Penekanan dalam penghasilan Wow Factor turut membantu di dalam pembangunan penduduk setempat dan peningkatan kualiti kehidupan penduduk desa menjadi satu tahap yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya, dalam program ini pelbagai perkhidmatan seperti kesihatan (Medi-Doc, Medi-Kiosk), pendidikan, pembangunan ekonomi dan sosial dapat disampaikan terus kepada penduduk desa.
“Melalui program PKD-Mobile ini, masyarakat desa berkeupayaan dan berpeluang menjana pendapatan dan mengenal pasti sumber-sumber asas yang berpotensi dikomersialkan bagi meningkatkan sumber ekonomi setempat.
“Produk-produk seperti kraftangan tradisional, penjualan buah-buahan tempatan mengikut musim, kuih muih dan juga produk sejuk beku berupaya diperluaskan akan dapat membantu meningkatkan pendapatan sekiranya diusahakan secara konsisten.
“Penekanan turut diberikan bagi aspek pendidikan awal, menengah serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk memastikan masyarakat desa tidak jauh ketinggalan,” katanya lagi.
Ujarnya, pembangunan ekonomi dan keusahawanan turut menjadi kayu pengukur dalam membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan dinamik buat penduduk desa melalui program Mini PKD Mobile.
“Dengan adanya program ini kekangan atau halangan yang dihadapai sebelum ini dapat diatasi selain membuka peluang kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan kesejahteraan hidup.
“Program ini dapat dijalankan dengan kerap dan diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan lain yang memerlukan,” ujarnya lagi. – SUARA.TV