Oleh: Zihan Zari
PENAGA – Saban hari banyak kes-kes jenayah berlaku, bukan sahaja melibatkan sesama manusia malah perbuatan jenayah dan kes-kes penganiyaan terhadap haiwan turut dikesan berlaku.
“Hubungan manusia dan haiwan tidak dapat dipisahkan, manusia perlu bergantung kepada haiwan bagi sumber keperluan makanan.
“Dalam aspek ekonomi pula, sektor penternakan bergantung kepada haiwan bagi menjana keuntungan,” kata Exco Agroteknologi & Keterjamiman Makanan dan Pembangunan Koperasi, Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Hari Kebajikan Haiwan 2024 (HKH2024) di Kampung Agung pada Khamis lalu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Dr. Suratan Kamarudin; Pengarah DVS Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Rejab; Pengarah Bahagian Regulatori Veterinar; Dr. Mohamad Razli Abdul Razak, dan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) , Prof. Dr. Goh Yong Meng.
Fahmi berkata, HKH2024 amat bermakna sekali bagi memastikan kebajikan haiwan di dalam pengurusan melibatkan haiwan di dalam industri ternakan mahupun melibatkan haiwan kesayangan.
“Ini termasuklah bagaimana kehidupan masyarakat di Malaysia melayan sesama manusia, malah layanan manusia kepada haiwan turut diambil kira dan kita sendiri boleh menilai di mana tahap kita sekarang.
“Manusia memerlukan haiwan untuk ketenangan dan terapi minda seperti haiwan kesayangan. Malah ada yang menggunakan haiwan sebagai alat bantuan pekerjaan untuk membajak atau menjadikannya untuk tunggangan seperti kuda dan kenderaan pengangkut.
“Oleh kerana ada bakti yang diberikan oleh haiwan kepada manusia ini, adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berbuat baik kepada haiwan.
“Kebanyakan negara-negara maju seperti di Eropah, mereka mewujudkan standard mengenai haiwan dan ladang -ladang ternakan diuruskan mengikut piawaian, dan negara ini menikmati peningkatan ekonomi hasil daripada pengeksportan ke seluruh dunia.
“Di sana tiada isu haiwan berkeliaran, manakala isu penganiyaan terhadap haiwan hanya isu terpencil malah mereka menunjukkan kasih sayang yang mendalam kepada haiwan sehingga menjadikan pet (haiwan kesayangan) sebagai sebahagian daripada ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan adanya satu perundangan yang khusus berkaitan menjaga kebajikan haiwan di negara ini, pengurusan haiwan ternakan dapat dijalankan mengikut piawaian kebajikan haiwan setanding dengan negara-negara maju yang lain,.
“Saya percaya, rakyat di negara ini masih mempunyai sikap yang terpuji, bertanggungjawab, prihatin dan ada perasaan ehsan kepada makhluk hidup bukan sahaja kepada manusia malah haiwan.
“HKH 2024 diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa menerapkan nilai kasih sayang terhadap haiwan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Veterinar DVS, Dr. Hjh. Akma Ngah Hamid berkata, sambutan HKH 2024 diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung pemilikan haiwan bertanggungjawab, ehsan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap haiwan.
Akma berkata, ‘Haiwan Kita, Tanggungjawab Kita” telah dipilih sebagai tema sambutan HKH 2024, selari bagi mempromosi kebajikan haiwan di Malaysia.
“Ianya dapat memupuk kesedaran awam kepada masyaraka berhubung , keprihatinan kepada haiwan dan memberi kefahaman tentang keperluan perundangan, peraturan serta garis panduan berhubung dengan haiwan bagi pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
“Selain itu, menyalurkan informasi mengenai perkhidmatan veterinar dan lain-lain agensi yang berkaitan kepada masyarakat.
“Masih banyak lagi usaha yang perlu dijalankan untuk ke arah tersebut di mana ia memerlukan kerjasama dari semua pihak sama ada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan rakyat,” katanya.
Kesedaran terhadap kebajikan haiwan adalah tanggungjawab bersama semua pihak dari pelbagai lapisan masyarakat.
Perasaan kasih, ehsan dan belas terhadap haiwan perlu dipupuk dari kecil lagi dan disokong dengan persekitaran yang cenderung dengan nilai-nilai yang sama, ”katanya lagi.
Menerusi kenyataan oleh DVS berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena HKH 2024, antaranya Animal Welfare Fun Run, pertandingan fotografi peringkat universiti dan pidato sekolah menengah turut diadakan.
Selain itu, pertandingan mewarna dan Animal Fun Game di booth DVS sempena Pet Expo Penang di SPICE Arena pada 27-28 Julai lalu.
Katanya, DVS sentiasa komited melaksanakan hebahan dan inisiatif kepada orang awam dalam memupuk dan meningkatkan kesedaran berkaitan kebajikan haiwan di negara ini.
Selain itu, pemasangan papan tanda di sekitar kawasan pasar awam dan penyampaian khutbah Jumaat yang menyentuh mengenai isu-isu berkaitan tanggungjawab serta belas ihsan sesama makhluk.
“Pada November lalu, DVS telah melaksanakan hebahan kempen kebajikan haiwan menggunakan 5 buah bas Rapid di seluruh negeri Pulau Pinang sebanyak enam kali sehari.
“HKH 2024 turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik DVS iaitu Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Kampung Agong, Murni Ekspo, Lay Hong Berhad, Leong Hup Sdn. Bhd., Azuddin & Co, Farm Fresh, Mars Petcare Sdn. Bhd., Power Cat Sdn. Bhd., dan Pro Kasih.
“Individu atau persatuan haiwan, dinasihatkan agar menyalurkan terus aduan berhubung kebajikan haiwan kepada DVS melalui pautan atas talian awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare),” kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV