KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, berikutan membaca surat layang mengenai dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam Dewan Rakyat.
Usul mencadangkan penggantungan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mendapat sokongan majoriti melalui undian belah bahagi 110-63.
Usul tersebut menyatakan, Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya dan ia bukan saja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.
Usul tersebut juga menyatakan Wan Ahmad Fayhsal juga disifatkan satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia, selain mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius serta bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut), menyifatkan tindakan kerajaan cuba menggantung Wan Ahmad Faiyshal tanpa membenarkan beliau membela diri sebagai tidak memenuhi prinsip keadilan.
Hamzah turut membangkit bahawa Wan Ahmad Fayshal telah pun menyatakan apa yang beliau bawa adalah surat layang maka tidak timbul isu memfitnah pegawai kerajaan.
Usul tersebut bukan sahaja mendapat kritikan ahli Parlimen blok pembangkang, tetapi juga Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH), Hassan Bin Abdul Karim yang menyelar Speaker Dewan Rakyat kerana tidak memberi peluang kepada Wan Ahmad Fayshal untuk mempertahankan diri.
Pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan diberikan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.
Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Wan Ahmad Fayhsal, sebelum itu mengemukakan usul tergempar bagi menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP), namun usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. – SuaraTV