Tun M ragu banyak pengumuman FDI tapi tiada sebarang kemajuan dibuat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan keraguan berkait dakwaan kerajaan mengenai peningkatan aliran masuk pelaburan asing (FDI), dengan mengatakan “tiada apa-apa yang berlaku” di lapangan.

“Kita diberitahu bahawa terdapat banyak FDI yang masuk daripada syarikat seperti Microsoft dan Apple,” katanya.

“Tetapi di lapangan, tiada apa yang berlaku. Kita tidak melihat apa-apa kemajuan dibuat. Sehingga kita melihat (tindakan ketara), kita tidak boleh mengambil serius cadangan itu.”

Beliau membandingkan banyak pengumuman kerajaan dengan berita tentang syarikat yang berpindah ke negara seperti Indonesia dan Singapura.

“Kebanyakan pengumuman adalah mengenai “sekadar memorandum persefahaman, bukan (perjanjian pelaburan sebenar),” lapor FMT dalam satu temu bual.

Pada Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia berjaya menarik pelaburan asing yang berpotensi berjumlah RM76.1 bilion setakat Mac tahun ini, hasil kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara dengan beberapa negara.

MoU untuk pelaburan telah ditandatangani dengan negara seperti China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jerman. Selain itu, gergasi teknologi Tesla, Nvidia, Microsoft dan Google baru-baru ini telah menjanjikan pelaburan di Malaysia.

Mahathir bagaimanapun menyuarakan keraguan apabila kerajaan mengumumkan perjanjian FDI semasa berada di luar negara, mempersoalkan sama ada jumlah yang diumumkan boleh menjadi kenyataan.

“Kita perlu menunggu mereka mula bekerja di lapangan. Ini adalah janji dan janji tidak semestinya perlu dilaksanakan. Jika anda bertanya kepada mereka, mereka mungkin berkata mereka mahu melabur, tetapi pada masa ini, kita tidak nampak sebarang pelaburan sebenar,” katanya.

Mahathir, yang pernah menjadi menteri kewangan, berkata di samping kekurangan FDI, rakyat menderita akibat ekonomi yang lemah berikutan peningkatan cukai, ringgit yang semakin lemah dan rasionalisasi subsidi.

“Kos sara hidup telah meningkat beberapa kali dan ramai rakyat terutama golongan miskin menderita. Ada yang buntu mencari jalan untuk menyara keluarga mereka.

“Malah ada kes bunuh diri dan banyak jenayah pelik dilakukan kerana orang terdesak. Mereka tidak mempunyai pendapatan yang baik atau mencukupi untuk menyara keluarga mereka. Dari perspektif ramai orang, keadaan ekonomi tidak baik,” katanya.

Mahathir berkata kerajaan Anwar Ibrahim tidak mesra perniagaan. Beliau berkata tahap rasuah yang tinggi dan kerajaan yang tidak cekap tidak akan menarik pelabur.

Mahathir berkata, semasa menjadi perdana menteri, Putrajaya memperkenalkan dasar Malaysia Incorporated pada 1981 untuk memupuk kerjasama antara sektor awam dan swasta dengan matlamat memacu aktiviti ekonomi.

“(Di bawah dasar ini) kerajaan dan swasta bekerjasama untuk membangunkan negara. Pendekatan itu kini telah diketepikan. Untuk ekonomi berkembang, anda memerlukan kerajaan yang sangat cekap. Kerajaan ini tidak cekap,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat