“Kerajaan bukan saja perlu bersih tapi perlu dilihat bersih” – Isham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Apabila ada ahli-ahli politik yang baru masuk kerajaan tiba-tiba terus suami isteri dapat kontrak berpuluh juta, ini memberi contoh yang tidak baik kepada penjawat-penjawat awam dan kepada rakyat, kata Isham Jalil.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu menjelaskan, ini bukan sahaja soal undang-undang dan soal moral tetapi ia adalah soal dasar dan praktikaliti.

“Jika kerajaan dilihat mengamalkan kronisme dan nepotisme, rakyat akan menjadi was-was untuk bayar cukai, sebab duit cukai ini dilihat akan pergi ke kocek kroni dan suami isteri ahli-ahli politik kerajaan.

“Pelabur-pelabur pun akan lari.

“Ibarat, jika ibu kencing berdiri, anak kencing berlari,” kata Isham di Facebooknya.

Sebab itu kata beliau, kerajaan bukan sahaja perlu bersih tetapi ia perlu dilihat bersih.

“Lebih-lebih lagi kerajaan yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang sebelum ini melaung-laung kononnya mereka menentang kronisme, nepotisme dan rasuah.

“Nampaknya semua yang dilaung dulu semuanya tipu.

“Bila dapat kuasa manusia cepat berubah. Atau mereka memang begitu dari dulu, cuma munafik dan menipu untuk mendapat kuasa sahaja.

“Dan duit yang diguna untuk bayar kontrak-kontrak yang suami, isteri, kawan dan kroni mereka ini dapat adalah dari duit cukai dan duit potongan subsidi kita.

“Kita yang perlu bayar cukai lebih dan harga minyak lebih tinggi,” bidas beliau.

Menurut Isham lagi, mereka kata ini semua tak salah dan penyokong-penyokong mereka pun percaya dan kata ini semua okey.

“Yang tak ok ialah apabila orang lain buat. Bila mereka buat ia adalah ok. Inilah yang dinamakan ‘benak ubi’.

“Dalam undang-undang ada satu frasa yang dinamakan ‘undue influence’ atau pengaruh yang tidak sepatutnya.

“Ini boleh berlaku contohnya apabila suami atau isteri kepada seorang menteri dapat kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan negeri yang ditadbir oleh pakatan politik yang dianggotai menteri tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Isham menyatakan bahawa menteri itu mempunyai pengaruh ke atas kerajaan negeri melalui jawatan kerajaan Persekutuan ataupun jawatan politiknya.

“Jika dia mempengaruhi pemberian kontrak itu secara langsung ia adalah salah di sisi undang-undang.

“Jika dia tidak mempengaruhi secara langsung sekalipun ia masih mengundang persepsi negatif ke atas tatakelola dan integriti kerajaan. Ini tidak baik untuk dasar dan pengurusan tatakelola pentadbiran kerajaan.

“Saya dulu pernah berkhidmat dengan kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan selama 20 tahun dan pernah memegang jawatan tinggi kerajaan.

“Sepanjang saya berkhidmat saya tidak pernah makan rasuah atau beri kontrak kerajaan kepada anak isteri atau saudara mara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat