2,500 unit rumah mampu milik akan dibina atas tanah rizab Melayu, gaji pelatih TVET RM3,500

- Advertisement -

PUTRAJAYA -Kerajaan bersetuju menyediakan Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar.

“Tanah Rizab Melayu akan dimanfaatkan dan dibangunkan. Alhamdulillah, Pelaburan Hartanah Berhad telahpun membangunkan sebuah Hospital Pakar KPJ di tanah rizab Melayu di Sungai Penchala.

“Namun, masih banyak lagi tanah rizab Melayu yang terbiar yang sewajarnya dibangunkan kerana kedudukannya yang strategik dan punyai potensi pembangunan yang tinggi.

“Untuk itu, Pelaburan Hartanah Berhad dan Permodalan Nasional Berhad diamanahkan untuk menerajui dan memacu pembangunan komersial di tanah-tanah rizab Melayu,” kata Anwar.

Perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi Majlis TVET Kebangsaan telah menjayakan kolaborasi antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri.

“Sebagai tambahan kepada usaha murni tersebut, kerajaandengan kerjasama Syarikat GLIC, GLC serta badan-badan swasta terpilih memberi komitmen untuk melatih seramai 100,000 pelatih TVET dalam tempoh 5 tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

“Syarikat yang terlibat termasuklah Petronas (industri minyak dan gas), Sime Darby (perladangan), MRCB (pembinaan), TNB (tenaga boleh baharu) dan Telekom Malaysia (digital),” jelas beliau.

Tegas Anwar, hanya melalui bekalan latihan yang cukup serta pekerjaan dengan gaji bermakna yang dapat mengubah nasib hidup golongan Bumiputera di Malaysia termasuklah mereka yang berada di desa daripada kalangan keluarga peneroka FELDA dan anak-anak nelayan.

“Maka, saya seru semua pihak untuk merangkul seluruh kekuatan dan tenaga, bagi kita mencapai
sasaran untuk melatih serta menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal kepada 100,000 pelatih,” katanya.

Selain itu, kata Anwar lagi, bagi mendukung pembangunan vendor tempatan, kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi
menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor seperti penyediaan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang baharu khususnya pendigitalan, peralihan tenaga dan teknologi.

“Sudah tiba masanya, sektor swasta termasuklah syarikat bukan Bumiputera dan syarikat multinasional menyokong pelaksanaan program-program pembangunan vendor kerana akhirnya ini
akan memberi manfaat kepada negara.

“Usaha ini dijangka dapat memanfaatkan sehingga 10,000 PMKS tempatan terutamanya usahawan Bumiputera selain ia turut juga dibuka untuk membimbing misalnya PMKS kaum India,” ujar beliau.

Perdana Menteri juga menyatakan, bagi memartabat dan menyokong hasil seni para pengusaha tempatan, bermula hari ini semua jabatan dan agensi Kerajaan serta Syarikat GLC hanya dibenarkan membeli sebagai cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha Bumiputera.

“Program ini adalah untuk mengetengahkan dan meningkatkan akses pasaran kepada pengusaha tempatan agar dapat menjual hasil produk mereka yang merangkumi kraf tangan, seni ukiran,
batik dan makanan.

“Perusahaan sosial juga telah banyak membantu menaik taraf pengeluar kraf tangan dengan
memastikan produk mereka berkualiti dan dapat menembusi pasaran premium dan antarabangsa.

“Lebih-lebih lagi menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, semua pihak harus membantu dan merancakkan lagi penghasilan produk kraf tangan tempatan agar nanti dapat dipamerkan keunikan dan ketulenan hasil kraf dari setiap negeri,” katanya.

Jelas Anwar lagi, pemantauan yang berterusan akan dilakukan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang beliau pengerusikan bagi memastikan bahawa setiap langkah yang telah kita putuskan diurus dengan baik dengan tatakelola berkesan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat