Bilangan pesakit diabetes meningkat, CAP cadang naikkan cukai restoran makanan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengenakan cukai lebih tinggi kepada restoran yang menyediakan makanan segera.

Saranan ini disuarkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) susulan laporan bilangan pesakit diabetes semakin meningkat di negara ini terutama bagi individu dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader, berkata penggunaan Sirap Jagung Tinggi Fruktosa (HFCS) sebagai pengganti gula bertapis yang murah dan tidak sihat perlu diharamkan dalam produk makanan di negara ini.

“Sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, CAP menggesa supaya undang-undang pelabelan dipinda bagi memastikan pengilang menukar label mereka untuk menunjukkan dengan jelas jumlah gula dalam makanan dengan bilangan sudu teh gula pada produk itu.

“Iklan makanan dan minuman bergula tinggi dan makanan ringan lain di televisyen perlu dihentikan selain melancarkan kempen besar-besaran di media massa bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya diabetes,” katanya dalam kenyataan pada Selasa sempena Hari Diabetes Sedunia, hari ini.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, didapati kelaziman diabetes dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015, kemudian meningkat lagi kepada 18.3 peratus pada 2019.

Diabetes di Malaysia dijangka terus meningkat susulan diet dan gaya hidup biasa iaitu diet yang kaya dengan lemak tepu dan karbohidrat halus serta mempunyai kesan buruk terhadap metabolisme.

Justeru, orang ramai dinasihati mengekalkan berat badan yang sihat serta aktif secara fizikal dengan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti berintensiti sederhana pada kebanyakan hari.

Menurut Mohideen, lebih banyak aktiviti diperlukan bagi mengawal berat badan malah masyarakat digalak mengamalkan pemakanan sihat serta mengelak pengambilan gula dan lemak tepu.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diabetes begitu berleluasa sehingga satu daripada setiap lima rakyat Malaysia didiagnos menghidapnya dan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun disahkan menghidap Diabetes Jenis II.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat