KUALA LUMPUR – Penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mungkin akan membantu menyumbang kepada kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini sekiranya beliau boleh menggambarkan pendakwaan yang dilakukan terhadapnya berunsur politik.
Dalam siaran podcast Keluar Sekejap malam tadi, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, Sanusi patut kekal mohon maaf dan mengakui bahawa beliau cuai ketika berucap sekali gus tidak sengaja mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Sanusi wajar menggambarkan kepada umum bahawa siasatan dan pendakwaaan ke atas beliau berunsur politik maka keputusannya boleh jadi lebih baik kepada PN waima di Selangor,” kata Shahril.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dilihat senada dengan cadangan dan pandangan Shahril dalam hal pendakwaan ke atas Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu.
“Kalau taktik yang boleh digunakan oleh PN sekarang, kekal dengan pendirian mohon maaf, kesal dengan apa yang telah pun berlaku.
“Tetapi mempersoalkan sama ada pendakwaan ini dan juga tindakan terhadap Sanusi ini adalah adil dari segi konsistensinya, yang lain tak kena tapi PN kena dan ini jelas ada unsur-unsur politik di sebalik tindakan tersebut,” dakwa Khairy.
Mengulas lanjut, Khairy dan Shahril juga mempersoalkan tindakan ‘pilih bulu’ yang berlaku apabila tiada siasatan serupa ke atas Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang turut mengeluarkan ucapan 3R (raja, bangsa, agama).
Kata Shahril, Guan Eng juga buat ucapan 3R berkenaan roboh kuil Hindu jika PN ambil alih Pulau Pinang.
“Jelas ini pendakwaan terpilih terhadap Sanusi dan PN, Guan Eng juga buat ucapan 3R iaitu roboh kuil Hindu, patut dapat layanan serupa seperti Sanusi,” ujarnya.
Manakala Khairy pula menyatakan Guan Eng telah langgar aspek agama dan bangsa sedangkan Sanusi langgar raja dalam ucapan itu.
“Sanusi telah langgar raja-raja, Guan Eng telah langgar bangsa dan agama, jadi kita nak lihat tindakan konsisten – siasatan, tuduhan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kalau sampai nak heret dan tuduh Sanusi di mahkamah ini adalah serius. Konteks ini Sanusi adalah ancaman terbesar Pakatan Harapan (PH), PAS pun mengakui Sanusi adalah panglima yang lawan di hadapan jadi itu konteks.
“Okey kamu boleh kata laporan polis telah dibuat oleh Dewan Diraja Selangor dan ini tak ada kaitan dengan politik tetapi kuasa pendakwaan itu adalah Jabatan Peguam Negara.
“Saya yakin keputusan yang penting begini yang ada implikasi politik pasti Peguam Negara akan maklumkan kepada Perdana Menteri sebelum ia dilaksanakan, mesti ada pertimbangan politik,” kata Khairy.
Pun begitu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan keterangan dan fakta daripada hasil penyiasatan dan ia bukan disebabkan desakn oleh pihak tertentu atau faktor lain.
Kata Idrus, keputusan dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan tanpa memihak kepada sesiapa.