KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengutus surat permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan tular ucapan beliau mempertikai pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Menurut Muhammad Sanusi beliau merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan dan berharap tidak mendapat kemurkaan akibat kempen-kempen pilihan raya yang telah sengaja disensasikan.
“Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” tulisnya pada akaun Facebook miliknya hari ini.
Menurut Sanusi Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan pada Jumaat lepas.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak dapat memaparkan surat berkenaan di laman sosial itu untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.
Dalam masa yang sama, Muhammad Sanusi berkata, beliau juga memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada jam 2 pagi Jumaat untuk melengkapkan siasatan atas laporan yang dibuat terhadapnya.
“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” katanya.
Sebelum ini, tular video ucapan Muhammad Sanusi yang tampak mempertikaikan kewibawaan Tuanku Sultan kerana melantik Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.-SUARATV