KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberikan pengurangan cukai taksiran sebanyak 25 peratus bermula penggal kedua tahun 2023 (Julai hingga Disember 2023) sehingga penilaian semula dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas tahun 2014 sehingga kini.
“Pengurangan cukai taksiran ini memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebanyak RM2.067 juta.
“Kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif ini adalah RUMAWIP, PRIMA, PPAM dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur.
“Pengurangan cukai taksiran kediaman rumah mampu milik ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup warga B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat.
Anwar menyifatkan cukai taksiran yang dikenakan ke atas rumah kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agak membebankan warga kota terutamanya pemilik kediaman rumah mampu milik.
“Sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan eleman ihsan yang menekankan kepada aspek peduli maka keputusan ini dibuat,” ujarnya.