Pas guna ‘delay tactics’, tidak amanah dan khianat laksana keputusan musyawarah, tabiat bincang lain, setuju lain dan buat lain – Tun Faisal gesa RoS hati-hati

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu berhati-hati dengan helah dan taktik melengahkan (delay tactic) dalam isu penggantungan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sejak Pas mengambil alih kepengerusian dan pentadbiran PN, Bersatu mempunyai pengalaman tentang sikap berlengah, helah dan ‘delay tactic’ Pas ini berulang kali.

“Pertama, dalam isu pindaan Perlembagaan PN. Keputusan untuk meminda Perlembagaan PN telah dibuat dalam Mesyuarat MT PN pada 22 Februari 2026 dilengahkan dan tidak dilaksanakan. Pas telah meminta penangguhan sebanyak dua kali, pertama kali selama dua bulan, dan kali kedua, semasa Mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026, Pas sekali lagi meminta penangguhan untuk tempoh sebulan. Selepas itu Pas telah memutuskan hubungan dengan BERSATU, dan sehingga sekarang keputusan MT PN untuk meminda Perlembagaan PN tidak dilaksanakan.

“Kedua, dalam isu pemakluman mengenai status Ahli Parlimen Bersatu yang telah dipecat kepada Speaker Dewan Rakyat dan seterusnya memindahkan kedudukan mereka dari kerusi blok pembangkang. Setiausaha Agung Bersatu telah memberi surat pemakluman mengenai Ahli Parlimen Bersatu yang telah dipecat seawal 23 Februari 2026, sehari selepas Mesyuarat MT PN pada 22 Februari 2026. Bagaimanapun status Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang dipecat ini tidak dimaklumkan dengan segera kepada Speaker dan kedudukan kerusi mereka tidak dialihkan. Akhirnya Pas tidak melakukan seperti yang dibincangkan, sebaliknya mereka telah mengalihkan kerusi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau ke tempat lain. Peliknya, boleh pula perkara ini dilakukan dengan segera.

“Ketiga, dalam soal penamaan Ketua Pembangkang. Dalam Mesyuarat MT PN pada 22 Februari 2026 diputuskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang telah dikosongkan dan Pas perlu segera menamakan Ketua Pembangkang dalam kalangan Ahli Parlimen Pas. Pelaksanaan keputusan MT PN ini telah dilengahkan. Keputusan MT PN ini juga diremehkan oleh Presiden Pas, dan pada 13 Jun 2026, keputusan MT PN ini telah dilanggar oleh Presiden Pas dengan menamakan semula Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang tanpa melalui Mesyuarat MT PN.

“Ini tidak termasuk sikap berlengah dalam memanggil Mesyuarat MT PN, mesyuarat persiapan pilihan raya dan mesyuarat rundingan kerusi selepas DUN Johor dan Negeri Sembilan dibubarkan, pemanggilan mesyuarat jawatankuasa ‘electoral pact’ melibatkan parti-parti bukan anggota PN walaupun itu merupakan antara keputusan MT PN. Sikap berlengah ini juga dilihat ketika memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan yang kemudiannya baru diketahui bahawa rupanya sudah ada rundingan di belakang-belakang dengan Umno. Ini dilakukan tanpa pengetahuan PN dan membelakangkan parti-parti anggota PN,” kata Tun Faisal dalam kenyataan media pada Rabu.

Menurut beliau, moral dari kisah ini adalah berhati-hati dengan pemimpin Pas kerana berdasarkan pengalaman Bersatu, pemimpin Pas menggunakan ‘delay tactics’, tidak amanah dan khianat dalam melaksanakan keputusan musyawarah, dan mempunyai tabiat bincang lain, setuju lain dan buat lain.

Tambah Tun Faisal lagi, RoS perlu mengambil iktibar apa yang pernah disebutkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai Presiden Pas, iaitu “kalau di Mekah pun menipu, di luar Mekah lebih banyak menipu lagi..”, dan apa yang pernah disebut oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Hasan yang menyifatkan Pas sebagai golongan yang ‘tidak ikhlas dan bermuka-muka’.

“ROS tidak seharusnya membenarkan permintaan pentadbir PN untuk mendapatkan penjelasan ini sebagai ruang untuk melengah-lengahkan penjelasan mereka kepada ROS, lebih-lebih lagi kerana mereka telah pun diberi peluang membuat penjelasan selama empat jam mengenai aduan Bersatu terhadap mereka.

“Ini susulan RoS telah meminta penjelasan daripada pentadbir Perikatan Nasional (PN) mengenai sebab-sebab mengapa pendaftaran PN tidak wajar dibatalkan. Pas, selaku Pengerusi dan pentadbir PN, perlu mengemukakan penjelasan tersebut dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan. Namun, bukannya memberi penjelasan seperti yang diminta, Setiausaha Agung PN daripada Pas pula yang meminta penjelasan daripada ROS bertanyakan apakah aduan Bersatu yang perlu dijawab.

“Kata (Datuk Seri) Takiyuddin Hassan, pihaknya menunggu maklum balas rasmi daripada ROS, dan alasannya, “kita diminta untuk membuat penjelasan, tapi apa aduan dia (BERSATU) pun kita tak tahu.”

“Alasan Setiausaha Agung PN, bahawa pihaknya tidak mengetahui apakah aduan Bersatu yang perlu dijawab sukar diterima kerana pada 22 Ogos 2026, Takiyuddin sendiri mengakui telah dipanggil RoS dan disiasat selama empat jam berhubung aduan Bersatu. Dalam kenyataannya, Takiyuddin mengaku telah memberikan penjelasan kepada RoS mengenai sebab Bersatu tidak dipanggil dalam perbincangan berkaitan PRN Negeri Sembilan.

“Sebelum itu, pada 11 Ogos 2026, RoS juga ada membuat kenyataan mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dibabitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026. Menurut ROS aduan diterima itu turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

“Justeru, tidak munasabah sekiranya perkara yang telah disiasat dan diberi penjelasan selama 4 jam sebelum ini sehingga kononnya terlepas solat Jumaat kini dijadikan alasan untuk meminta penjelasan semula daripada RoS,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat