DAP Dituntut Minta Maaf Tohmah Umno, Jika Benar Jujur – Dr Akmal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Pemuda Umno menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada Umno sehingga mengguris hati semua ahli parti Melayu itu hingga kini.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jika sebelum ini DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), mengapa tidak melakukan perkara sama kepada Umno.

“Pemuda Umno menuntut DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap yang kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, rasis.. tidak sama sekali akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ini.

“Kalau masa mahu tubuh Kerajaan Perpaduan dulu, DAP boleh terbang ke Sarawak berjumpa dengan GPS, minta maaf.

“Maka hari ini, kalau mahu lembutkan hati orang Umno, kalau suci mahu menjalin tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik tohmahan diberi kepada Umno dulu.

“Kalau jujur, kenapa dengan GPS boleh, kenapa tidak buat dengan kita. Saya mohon kepimpinan DAP kalau mahu nak menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini, mahu hati orang Umno lebur, maka satu tuntutan maaf kepada DAP atas tohmahan selama ini, mesti dilakukan segera,” katanya.

Beliau juga mengakui kebimbangan yang dizahirkan akar umbi Umno apabila parti Melayu bekerjasama dengan DAP maka maruah Umno akan tergadai.

“Umno dan kita nak tegaskan, Pemuda Umno akan pastikan yang Umno tidak akan sesekali menjadi DAP. Ini sumpah dan ikrar Pemuda, kita takkan sesekali berkompromi.

“Dan hari ini, Pemuda Umno menuntut, DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran, cakap-cakap tentang DAP yang anti Melayu, anti Islam, racists, communist centric tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan, jika mahu orang UMNO berlembut hati. Inilah cara kita, tiada selindung, jujur yang kita junjung,” kata Akmal dalam ucapan dasar Pemuda Umno yang mengangkat tema “Rumah Kita, Cara Kita” di WTCKL pada Khamis.

Hal demikian katanya, untuk berani berubah Pemuda Umno wajar mengenal pasti isu sebenar dan sebab itu komponen lain parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak dijemput dalam Perhimpnan Pemuda Umno.

“Atas sebab itulah, Sayap Pemuda mengambil pendirian tidak menjemput parti Kerajaan Perpaduan. Kita tidak jemput bukan kita tidak mahu bersama, tetapi saya percaya ada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu di peringkat adik-beradik.

“Saya sedar, perkembangan politik mutakhir ini, ada adik-beradik kita yang masih keliru. Ada adik-beradik yang mungkin tidak berpuas hati. Jadi, ini lah ruangnya untuk kita semua meluahkan seluas-luasnya, kita ambil maklum dan kita selesaikan.

“Jangan tipu diri sendiri, jangan berselindung di sebalik tabir, jangan bertapis, jangan berlapik. Kita orang muda, mental kena kuat, jiwa kena kental, jangan cepat koyak!

“Saya faham, dalam rumah kita ini, ada yang resah, ada yang gelisah. Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba. Ada yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan, risau sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual,” ujar Akmal lagi.

Jelasnya ada yang risau apabila bersama DAP, keris Umno terperosok ke bumi.

“… risau bila bersama DAP, Umno diam terbisu, kampung tergadai. Bahasa mudahnya, akar umbi risau, bila bersama DAP, Umno sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, Umno tak boleh bercakap soal kedaulatan raja-raja, Umno tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera.

“Umno kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Ini yang orang Umno risau,” kata beliau.

Tambahnya lagi, hari ini, Pemuda Umno ingin tegaskan Umno bersama Kerajaan Perpaduan adalah atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara dan Umno bersama untuk membentuk kerajaan.

“Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda Umno yang pertama akan datang mencantas.

“Umno tidak akan sesekali menjadi DAP, dan kita tidak pernah minta DAP menjadi Umno,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat