KUALA LUMPUR : Bakat baharu, Syafeek Ikhwan mempertaruhkan single Lafaz yang menyentuh emosi dalam mengetengahkan namanya sebagai penyanyi.
Juara pertandingan realiti, i-Sing Dunia 2018 di Perancis dan juara musim ketiga program realiti, Lagu Cinta Kita (LCK) bersama Zazo Maulana terbitan TV3 itu, percaya lagu bergenre balada mudah meraih perhatian.
Apatah lagi, dendangan itu menyentuh jiwa pendengar dengan lirik yang memiliki maksud mendalam.
Penyanyi berbakat besar yang dinaungi Alternate Records & Talents itu berkata, single Lafaz sangat unik kerana mengisahkan sepasang kekasih yang menyesal tidak menghargai apa yang ada di depan mata.
“Mereka ingin menebus kesalahan, memulihkan hubungan keruh dan mengharapkan peluang kedua.
“Namun, semuanya sia-sia kerana itu hanyalah fantasi, bukan realiti.
“Justeru, single Lafaz membawa mesej mengenai perhubungan.
“Jadi, mesejnya pasangan kekasih kena sentiasa menghargai orang sekeliling kerana belum tentu perhubungan cinta akan kekal selamanya,” katanya kepada BH Online.

Apa yang menarik, single Lafaz dipilih sebagai lagu runut bunyi kepada drama Bukan Lelaki Terhebat yang akan disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 mulai 26 Januari ini.
Drama bersiri 15 episod diilhamkan daripada novel Bukan Lelaki Terhebat karya Dilla Ahmad terbitan Orangetree Production di bawah arahan Eoon Shuhaini.
Drama ini menampilkan pasangan suami isteri, Adam Lee dan Sweet Qismina sebagai teraju utama.
Syafeek berharap pendengar dapat menghayati bait lirik yang mempunyai mesej positif untuk dikongsi bersama.
“Saya berterima kasih kepada peminat yang terus menyokong dan memberi semangat untuk saya berkarya.
“Saya bersyukur single Lafaz juga dipilih sebagai lagu runut bunyi drama Bukan Lelaki Terhebat.
“Lafaz dihasilkan sesuai dengan penceritaan drama bersiri ini kerana ia mengisahkan cinta tiga segi dan membawa mendalam mengenai hubungan cinta,” katanya.
Single Lafaz boleh didengari di semua pelantar digital dan lirik video di tonton di saluran Youtube Alternate Records & Talents sejak 30 Disember lalu.
Berita Harian