KUALA LUMPUR: Berilah apa sahaja karakter, aktor handalan, Beto Kusyairy, 42, pasti mampu menghidupkan watak dengan baik.
Penghayatan, kehebatan dan lakonan versatil sudah dibuktikan menerusi beberapa naskhah, termasuk filem epik pecah panggung, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan menerusi watak Wahid.
Namun, segala-galanya menuntut pengorbanan tinggi buat Beto atau nama sebenarnya, Nurkusyairy Zakuan Osman.
Tidak seperti sesetengah aktor yang boleh ‘sapu’ apa sahaja karakter, Beto pula sebaliknya. Bagi memastikan pembawaan watak berkesan di hati penonton, Beto amat menitik berat skrip naskhah sebelum memberikan persetujuan.
Perkara sama dilakukan sebelum menjayakan watak jurulatih sukan bola sepak, Coach Zainal Abidin menerusi filem terbaharu, Anak Rimau The Movie arahan Areel Abu Bakar.
Berbeza karakter sebelum ini, Coach Zainal Abidin digambarkan sebagai jurulatih yang tegas dan komited dengan tugasan membimbing pasukan pemain bola sepak muda.
Beto berkata, dia sangat mementingkan kualiti skrip dan karya sejak dahulu.
“Saya memilih skrip dan hanya bekerja dengan pengarah serius serta tidak main-main ketika berkarya. Sudah tentu saya mahu memberikan lakonan terbaik ketika bekerja untuk sesebuah naskhah.
“Bagi saya, keikhlasan amat penting dan bukan bekerja untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya demi naskhah diamanahkan,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada malam gala Anak Rimau The Movie di Dadi Cinemas, Pavilion, Rabu lalu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, Tengku Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan penerbit, Fadzil Manap.
Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia menerima tawaran menjayakan filem Anak Rimau disebabkan mesej dalam naskhah yang mengangkat nilai kekeluargaan, integriti dan persahabatan.

Mengulas lanjut, Beto berkata, dia berterima kasih kepada kesungguhan dan komitmen diberikan barisan pemain bola sepak muda kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) sehingga mampu membuatkan filem Anak Rimau berjaya mengetengahkan jalan cerita menyentuh hati.
“Sebelum memulakan penggambaran, terbit perasaan bagaimana saya mahu bermain atau bekerjasama dengan pelakon remaja yang bukannya pelakon, sebaliknya atlet.
“Namun, kerja saya menjadi mudah apabila syarikat produksi, Keeklr Films Sdn Bhd menyediakan guru lakonan hebat iaitu Fatimah Abu Bakar.
“Sebelum memasuki set, mereka terlebih dahulu menghadiri kelas bersama Cikgu Fatimah dan mendalami ilmu bagaimana mahu menghidupkan karakter masing-masing.
“Saya berkesempatan menyertai kelas selama beberapa hari bersama mereka. Masuk sahaja set penggambaran, masing-masing sudah faham tuntutan watak, jalan cerita dan bagaimana membentuk lakonan,” katanya.
Justeru, kata Beto, kesungguhan pelakon remaja itu patut diberi pujian, meskipun ia adalah pembabitan kali pertama dalam karya sebesar itu.
“Saya perlu puji barisan pelakon remaja ini. Mereka mementingkan disiplin, maksudnya mendengar arahan dan mengikut apa yang dikehendaki. Jadi, kerja jadi mudah apabila mereka faham dengan apa yang perlu dilakukan.
“Berkat kesungguhan, saya tidak menafikan, mereka cukup profesional. Apabila sebut atlet, kita tahu mereka mempunyai disiplin yang baik, mudah mendengar kata dan tiada masalah dari sudut keserasian atau bekerjasama,” katanya.
Anak Rimau The Movie mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy.
Naskhah menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.
Ini termasuk penampilan anak saudara Sultan Pahang iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Mengulas rujukan dilakukan bagi menghidupkan watak Coach Zainal Abidin, Beto berkata, dia tiada rujukan, sebaliknya hanya membuat pemerhatian.
“Sebenarnya, saya tiada rujukan tertentu untuk watak Coach Zainal Abidin, namun nama dan penampilan lebih kepada penghargaan kepada legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan Zainal Abidin Hassan.
“Dari segi karakter, ia adalah ciptaan pengarah dan saya sendiri. Saya seorang peminat bola sepak, sudah tentu saya ada pasukan yang disukai.
“Jadi, saya banyak memerhatikan jurulatih English Premier League (EPL). Saya melihat sudut karisma, iaitu bagaimana seseorang jurulatih bersama pemainnya.
“Saya bukannya tiru, sebaliknya hanya melihat dan memberi idea bagaimana mahu mewarnakan watak Coach Zainal Abidin,” kata peminat kelab Liverpool itu.
Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.
Naskhah itu dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beto berkata, dia juga menggunakan pengalaman ketika membabitkan diri dalam sukan silat olahraga pada zaman persekolahannya dahulu.
Mengulas soal persaingan, Beto berkata, dia tidak gusar apabila filem Anak Rimau bertembung dengan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, lakonan Datuk Adi Putra.
“Saya berlakon dalam projek filem bukannya untuk bersaing. Malah, saya suka banyak filem lain turut ditayangkan di pawagam selepas era pandemik COVID-19.
“Seharusnya kita memerlukan karya untuk terus mengekalkan momentum penonton datang ke pawagam. Ini adalah satu daripada cara menghidupkan industri pawagam.
“Sekarang, kita melihat penonton boleh memilih pelbagai genre yang ada. Kalau mahu tengok aksi ketenteraan boleh tengok filem Air Force The Movie, kalau mahu lihat sukan, boleh tengok Anak Rimau The Movie.
“Situasi ini mewarnai industri perfileman negara dan dalam masa sama dapat membuatkan pembikin filem lebih bersemangat untuk menghasilkan filem berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, Beto berharap agar penonton memberi peluang kepada filem Anak Rimau, sekali gus memberi sokongan kepada filem bergenre sukan yang akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini.
Secara ringkas, Anak Rimau berkisarkan sekumpulan anak muda berbakat besar dalam sukan bola sepak. Mereka yang menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia atau Anak Rimau Academy yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Mereka mengharungi pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baharu dalam dunia bola sepak.
Pemain juga perlu menentang cabaran peribadi dan halangan pasukan, sebelum berfikir mengenai kemenangan.
Keazaman dan ketabahan pemain diuji menerusi kerjasama, isu keluarga, halangan hidup dan perlumbaan untuk menjadi yang terbaik demi memenangi Piala Jemputan Bola Sepak Belia ASEAN.
Selain itu, filem ini juga menekankan kebaikan akan sentiasa datang kepada mereka beriman dan berani berpegang kepada kebaikan dalam diri dan orang lain seperti slogan Anak Rimau The Movie, ‘bola itu bulat’.
Berita Harian