KUALA LUMPUR – Langkah penstrukturan semula empat tol di Lembah Klang yang diumumkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap kejayaan yang dimulakan Pakatan Harapan (PH).
Pun begitu, Majlis Presiden PH menggesa kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuh raya ini, serta memberi penjelasan penuh di Parlimen berhubung hak milik entiti iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR.
Katanya, Majlis Presiden PH mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri semalam bahawa empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuh raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuh raya Damasara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.
Jelas kenyataan itu lagi, tambahan, keempat-empat lebuh raya ini dilaporkan akan diambil alih oleh sebuah entiti iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion.
“Hasil ini merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan Kerajaan PH pada Oktober 2019 di mana Majlis Jemaah Menteri pada ketika itu telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuh raya-lebuh raya tersebut.
“Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya. Ini membuktikan bahawa jika PH terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan,” kata Majlis Presiden PH.
Sebagai contoh katanya, kerajaan PH telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuh raya dengan mengurangkan kadar tol Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus pada 2020.
“Malah PH telah merancang untuk memberi diskaun 30 peratus dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya ini.
“Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuh raya ini, serta memberi penjelasan penuh di Parlimen berhubung hakmilik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR,” katanya.
Manifesto PH sewaktu pilihan raya umum lalu ialah menghapuskan tol secara berperingkat.