SELEPAS memecat pemain bass, David Ellefson pada Mei lalu berikutan video intim dia bersama gadis bawah umur tular di Twitter, kumpulan thrash metal legenda dunia, Megadeth mengumumkan James LoMenzo sebagai penggantinya, Rabu lalu.
LoMenzo, 62, adalah pemain bass berpengalaman luas yang pernah bersama beberapa kumpulan rock popular seperti White Lion, Black Label Society dan Slash’s Snakepit.
Dia juga pernah mengiringi persembahan penyanyi rock legenda seperti Ozzy Osbourne dan David Lee Roth.
LoMenzo juga pernah bersama Megadeth pada 2006 hingga 2010 serta terbabit dengan dua album mereka iaitu United Abominations pada 2007 dan Endgame pada 2009.

Perancangan konsert jelajah bersama Lamb Of God pada musim panas ini juga akan diteruskan dengan penyertaan LoMenzo.
“Saya sangat teruja dapat menyertai Megadeth semula untuk konsert Metal Tour of the Year nanti. Peminat Megadeth adalah yang terbaik. Saya tidak sabar untuk keluar ke pentas dan bermain lagu-lagu Megadeth untuk anda semua,” kata LoMenzo dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pengasas dan penyanyi Megadeth, Dave Mustaine gembira apabila LoMenzo dapat menyertai mereka semula.
“Seronok apabila LoMenzo kembali terutama untuk konsert Metal Tour of the Year nanti. Kami sudah mula berlatih dan kami tidak sabar untuk menggegarkan konsert di Amerika Utara nanti,” katanya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastkan sama ada LoMenzo akan merakamkan semula bahagian bass yang dimainkan Ellefson sebelum ini dalam album terbaru mereka, The Sick, The Dying & The Dead yang kini sedang dalam pembikinan.
Mustaine dan Ellefson menubuhkan Megadeth di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1983.
Megadeth yang memiliki 16 album studio dan terjual lebih 38 juta unit di seluruh dunia diiktiraf antara kumpulan thrash metal terbaik atau ‘the big four’ bersama Metallica, Anthrax dan Slayer.
Selain itu, Megadeth kini turut dianggotai Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbeuren (dram).
Harian Metro