KUALA LUMPUR- Klip audio rakaman perbualan antara dua individu mirip suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial sejak Rabu didakwa tulen.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua tokoh politik itu, pengecaman suara di dalam audio tersebut bukanlah perkara rumit.
“Saya cuba mendengarnya 10 kali malam tadi, saya rasa saya boleh cam suara itu dan yakin 100 peratus ia tulen,” katanya memetik Sinar Harian di Putrajaya, hari ini.
Menteri Wilayah Persekutan itu mendakwa kandungan percakapan antara kedua-dua individu berkenaan juga amat mengecewakannya.
“Saya bukan mempersoal kebebasan bercakap tetapi “content” percakapan itu jelas menunjukkan ada perancangan, kebersamaan dan perbincangan yang bercanggah dengan dasar ‘No Anwar, No DAP’ yang diputuskan parti,” katanya.
Beliau mendakwa, sememangnya wujud hubungan kerjasama politik antara UMNO dan PKR.
“Saya sangat berkeyakinan memang ada perhubungan dan perhitungan…Gunalah apa sahaja, boleh guna konspirasi,” katanya.
Annuar berkata, hubungan itu boleh dilihat termasuklah surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh Zahid, namun dinafikan.
“Kemudian kenyataan media mengenai tuntutan mengadakan sidang Parlimen.
“Copy paste” (surat) juga membuktikan ada muafakat di belakang tabir.
“Sekarang keluar pula rakaman audio,” katanya.
Pada Rabu, tular di laman sosial rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Bagaimanapun Zahid dan Anwar menyangkal dakwaan penglibatannya di dalam rakaman suara tersebut.