KUALA LUMPUR – Pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai ADUN Sabah dilihat membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Sabah.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sesungguhnya keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan PAS dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri, Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan untuk melantik Aliakbar sebagai ADUN Sabah (dilantik).
“Kepada Aliakbar dan PAS Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara,” pesan Abdul Hadi.
Aliakbar antara empat ahli politik yang mengangkat sumpah sebagai ADUN dilantik, hari ini.
Pelantikan itu menjadikan Aliakbar sebagai pemimpin pertama PAS Sabah menjadi ADUN di negeri itu.
Tiga lagi yang dilantik ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi; Bendahari UMNO Sabah, Suhaimi Nasir; dan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Parlimen Libaran, Jaffari Waliam.
Semua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama lima menteri dan 18 pembantu menteri di Istana Negeri, hari ini.
Berikutan pelantikan itu, Aliakbar, 49, yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) adalah pemimpin PAS pertama di Sabah menjadi ADUN di negeri itu.
Beliau yang berasal dari Kampung Kota Ayangan, Keningau sebelum ini adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selain memegang jawatan Setiausaha PAS negeri, beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.