KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menyatakan tidak ada salahnya Pas dan Umno bersolidariti untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 6 Januari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu malah menegaskan himpunan solidariti untuk Najib itu hanya memperjuangkan keluhuran Perlembagaan.
“Takkanlah nak duduk-duduk bersama tunjuk solidariti untuk keluhuran Perlembagaan pun salah.
“Ini bukan acara keagamaan yang dihadiri oleh pelbagai agama, macam yang seorang ‘Menteri Tiga Bintang’ itu buat,” dakwa Fadhli.
Sebelum itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas tindakan Umno kerana berganding bahu dengan Pas mengadakan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 6 Januari ini.
Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan Umno menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Umno mesti sedar bahawa sebarang program bersama dengan parti pembangkang Pas, baik perhimpunan solidariti ataupun demonstrasi, akan menimbulkan keraguan tentang kestabilan politik dan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan,” katanya.