FTG mula langkah di MotoGP Malaysia 2026, Interkom Mesh M1 dan M1+ jadi tarikan

Bukan sekadar mahu memperkenalkan produk kepada pengunjung, jenama kelengkapan motosikal tempatan, FTG, mengambil peluang menjadikan pentas MotoGP Malaysia 2026 sebagai medan untuk memperlihatkan perkembangan teknologi dan inovasi yang dibawakan oleh jenama tempatan.

Buat pertama kalinya, FTG menyertai pameran sempena MotoGP Malaysia 2026 yang berlangsung di Sepang International Circuit dari 30 Oktober hingga 1 November. Antara perkara yang mencuri perhatian di reruai mereka ialah kemunculan prototaip interkom M1 dan M1+ yang menggunakan teknologi Mesh.

Jika sebelum ini FTG dikenali menerusi siri interkom F30 dan F50, pengenalan M1 dan M1+ memperlihatkan usaha jenama ini untuk membawa pengalaman komunikasi penunggang ke tahap seterusnya. Menariknya, teknologi Mesh yang digunakan pada kedua-dua model ini membolehkan komunikasi dilakukan dalam kumpulan penunggang, dengan M1+ disasarkan mampu menyokong sehingga 40 pengguna.

Bagi mereka yang gemar menyertai konvoi atau melakukan perjalanan jarak jauh bersama rakan-rakan, kehadiran teknologi sebegini pastinya sesuatu yang menarik untuk dinantikan. Penunggang boleh berhubung dalam kumpulan yang lebih besar, sekali gus menjadikan komunikasi sepanjang perjalanan lebih mudah.

Walaupun masih berstatus prototaip, FTG menyasarkan kedua-dua model ini memasuki pasaran sekitar Mei 2027. Harga anggaran yang ditetapkan ialah RM428 untuk M1, manakala M1+ dijangka dijual pada harga RM489.

Selain teknologi interkom, FTG turut menggunakan peluang di Sepang untuk memperkenalkan beberapa produk lain yang dekat dengan keperluan penunggang motosikal. Antaranya ialah Raincoat Pro+ yang sudah digunakan dan diuji oleh lebih 100 penunggang Malaysia dalam ekspedisi merentasi pelbagai benua.

Untuk versi terbaru, jaket hujan ini menerima beberapa penambahbaikan termasuk penggunaan benang atau yarn yang membantu mempercepatkan proses pengeringan, selain lapisan seam sealant yang lebih tebal bagi meningkatkan ketahanan. Dengan harga promosi RM149, Raincoat Pro+ menjadi antara produk yang boleh diberikan perhatian oleh mereka yang kerap menunggang dalam pelbagai keadaan cuaca.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga boleh melihat koleksi sarung tangan motosikal FTG yang ditawarkan pada harga bermula RM25 hingga RM138. Bagi yang mahu membawa pulang sesuatu sebagai kenangan MotoGP Malaysia tahun ini, FTG turut menyediakan kemeja-T edisi khas bertemakan Sepang dan FTG Official Crew pada harga RM45 sehelai atau RM120 untuk tiga helai.

Penyertaan pertama FTG di MotoGP Malaysia ini bukan sekadar peluang untuk menjual produk kepada pengunjung, tetapi turut menjadi ruang untuk memperkenalkan identiti dan hala tuju jenama tempatan kepada komuniti motosikal yang lebih luas.

Dengan kemunculan teknologi Mesh menerusi M1 dan M1+, FTG nampaknya sudah mula mengorak langkah ke arah segmen komunikasi motosikal yang lebih maju. Kini, persoalannya hanya satu, sejauh mana kemampuan sebenar interkom ini apabila mula dipasarkan kelak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat