Memandai dakwa Hamzah sasaran seterusnya, cubaan alih perhatian kesalahan sendiri – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Dakwaan ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kononnya Lembaga Disiplin Bersatu menyasarkan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, adalah tidak wajar, tidak bertanggungjawab dan menggambarkan sikap terdesak beliau.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, tuduhan tersebut tidak berasas dan berniat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti parti.

“Wan Ahmad Fayhsal tidak sepatutnya membuat andaian awal (pre-empt) terhadap tindakan Lembaga Disiplin sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Lembaga Disiplin.

“Tindakan beliau ini menunjukkan ketidakmatangan politik dan cubaan mencampuri proses tatatertib dalaman yang sedang dijalankan.

“Dakwaan bahawa beliau dan kumpulan SD hanyalah mangsa atau ‘collateral damage’ adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan. Kenyataan sedemikian jelas merupakan cubaan diversion untuk mengalihkan perhatian daripada kesalahan-kesalahan mereka sendiri yang telah terbukti melanggar perlembagaan serta disiplin parti,” bidas Tun Faisal.

Kata beliau lagi, Wan Ahmad Fayhsal dan rakan-rakannya yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin dihukum atas kesalahan peribadi masing-masing.

“Mereka telah melanggar perlembagaan, peraturan dan disiplin parti, dan oleh itu, sebarang dakwaan kononnya mereka menjadi mangsa adalah tidak berasas dan bersifat fitnah terhadap Lembaga Disiplin.

“Lembaga Disiplin parti berfungsi secara bebas dan profesional, bertindak berdasarkan setiap aduan yang diterima berserta bukti dan keterangan saksi.

“Jika Wan Ahmad Fayhsal didapati bersalah atas sesuatu aduan, maka itu adalah akibat daripada tindakannya sendiri, bukan kerana pihak lain. Begitu juga (Datuk) Wan Saiful. Wan Saiful dihukum di atas kesalahan disiplinnya sendiri, tiada kaitan dengan Wan Ahmad Fayhsal atau pihak lain.

“Berkenaan Lembaga Rayuan, Wan Ahmad Fayhsal perlu bawa bertenang dan tidak perlu terlalu terdesak. Hari ini baru 12 hari bekerja selepas mereka menerima notis hukuman daripada Lembaga Disiplin. Parti ada proses-proses parti dalam membuat sesuatu lantikan,” jelas beliau.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa sasaran Lembaga Disiplin Bersatu adalah untuk mengenakan tindakan terhadap Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, ketika dipanggil Lembaga Disiplin sebelum ini, beliau ditanya mengenai peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

“Sebenarnya sasaran utama Lembaga Disiplin adalah mereka mahu tindakan dikenakan kepada Ketua Pembangkang. Sebab itu kami yang dikenakan tindakan disiplin ini hanyalah ‘collateral’ (cagaran) sebenarnya.

“Sasaran utama adalah Hamzah Zainudin. Sebab itulah kami buat sidang media di sini sebab saya rasa rakyat dan ahli Bersatu perlu tahu, apa yang ada hari ini dalam Bersatu ialah kepincangan luar biasa.

“Malangnya, perkara ini dibiarkan berterusan oleh presiden kami sendiri. Ini satu yang mengecewakan,” dakwanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat