KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menuntut penjelasan segera dan permohonan maaf terbuka daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kepada wartawan terlibat serta kepada rakyat.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Nadzir Helmi mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kor Ming yang dilihat mengugut seorang wartawan ketika diajukan soalan mengenai penggunaan Bahasa Melayu.
Tegas beliau, perbuatan sedemikian tidak profesional, bersifat kebudak-budakan, dan mencemarkan etika seorang anggota Jemaah Menteri.
“Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kewajipan memartabatkannya bukan pilihan dan bukan slogan bermusim.
“Ia tidak boleh dikebelakangkan atas alasan komersial atau tujuan pelancongan semata-mata. Pelancong datang untuk melihat jati diri dan budaya kita, bukan untuk menyaksikan kita mengorbankan identiti sendiri demi “melayan” selera luar,” bidas Nadzir dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau juga menuntut kerajaan menunjukkan teladan dengan mengutamakan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, termasuk kenyataan media, dokumen, papan tanda dan acara kerajaan, di samping menyediakan garis panduan yang jelas agar kedudukan Bahasa Kebangsaan dihormati tanpa menafikan penggunaan bahasa lain dalam kerangka yang tidak menjejaskan peruntukan Perlembagaan.
“Kami sedia berdialog dan bekerjasama dalam apa-apa inisiatif untuk memperkasa Bahasa Melayu sebagai identiti dan lambang jati diri negara.
“Namun, kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menormalisasikan intimidasi terhadap media atau meremehkan martabat Bahasa Kebangsaan” kata Nadzir lagi.



