Kor Ming sedia jumpa Utusan lerai polemik – Fahmi

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming memberi komitmen untuk bertemu dengan organisasi media berkaitan bagi meleraikan polemik yang timbul baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata, polemik membabitkan menteri berkenaan dengan media terbabit ketika dalam satu program di ibu negara baru-baru ini, dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Saya rasa ada ruang untuk beliau bertemu dengan pihak organisasi media dan beliau sudah memaklumkan bahawa memang akan bertemu dengan pihak pengurusan untuk cuba menjernihkan keadaan.

“Jadi ini komitmen diberi oleh menteri berkenaan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat lapor BH.

Terdahulu, tular rakaman video di sebuah acara memaparkan Kor Ming dengan nada sedikit keras menjawab pertanyaan seorang wakil media berkaitan nama acara berkenaan yang menggunakan bahasa Inggeris.

Tindakan menteri itu bagaimanapun menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Ditanya sama ada Kor Ming sedia meminta maaf disebabkan perkara terbabit, Fahmi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada menteri terbabit.

“Beliau sudah menyampaikan pandangan dan saya juga sudah menyampaikan pandangan yang sama seperti saya maklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat